rap

Kesihatan A Rahman semakin merosot

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PELAKON Khir Rahman, 47, mengesahkan keadaan kesihatan ayahnya, Datuk A Rahman Hassan, 73, semakin merosot dan sukar meramalkan sejauh mana mampu bertahan.

Katanya, dia meminta semua pihak yang mengenali ayahnya untuk menziarahi penyanyi legenda pop yeh yeh itu di hospital.

“Ahli keluarga dan sanak saudara khususnya, juga taulan terapat serta teman seperjuangan, bolehlah kiranya menziarahi beliau (A Rahman) yang kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Tingkat 3, Hospital Ampang.

“Beliau kini hanya disokong oleh mesin pernafasan dan ubat-ubatan yang diperlukan untuk bertahan.

“Tidaklah pasti selama mana. Semoga perjalanan abah dipermudahkan. Amin ya rabbal ‘alamin,” katanya menerusi mesej aplikasi WhatsApp yang dihantar kepada Harian Metro hari ini.

Semalam Khir meminta semua rakan dan peminat industri hiburan mendoakan kesihatan ayahnya yang dimasukkan ke ICU selepas pitam di sebuah stesen minyak di Ampang.

Kejadian yang berlaku pada jam 10 malam Isnin lalu menyaksikan A Rahman diselamatkan serta dihantar ke hospital menaiki ambulans.

Khir turut memaklumkan ayahnya direhatkan untuk rawatan dan pemantauan lanjut pihak hospital.

Dia juga memberitahu doktor memaklumkan ayahnya ada komplikasi paru-paru (berair) dan degupan jantung yang tidak konsisten (lemah).

Terdahulu, pada 1 Jun lalu, A Rahman dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 3.30 pagi akibat masalah jantung.

Beliau bagaimanapun menafikan mengalami serangan jantung kritikal, sebaliknya doktor memaklumkan badannya kurang rehat dan mengalami tekanan.

A Rahman dibenarkan keluar dari HKL dua hari menjelang Aidilfitri.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 5:48pm
d