rap

BI iKON suspek dadah

Oleh Georgie Joseph

ANNYEONGHASEYO!!! Dispatch melaporkan ketua kumpulan iKON iaitu BI disyaki terbabit dengan dadah pada Ogos 2016. Ia termasuklah pembelian dadah jenis LSD dan ganja.

Bagaimanapun, pe­nyanyi itu tidak disoal siasat pihak berkuasa meskipun disyaki.

Terbaru, Dispatch turut mendedahkan kandungan perbualan antara BI dan Encik A mengenai urus niaga dadah di antara mereka yang bermula sejak April 2016.

Penyanyi itu dilaporkan bertanya mengenai dadah LSD dan meminta diskaun. BI juga menyatakan hasrat mahu membelinya dalam jumlah yang banyak sekiranya diberikan diskaun.

Pada Ogos 2016, seorang lelaki ditangkap kerana melanggar Akta Kawalan Dadah di mana polis merampas telefon bimbitnya. Penahanan itu mendedahkan kandungan perbualan dalam telefon itu.

Lelaki terbabit me­ngakui perbualannya dengan BI adalah sahih dan pernah menghantar 10 dos LSD di lokasi berdekatan kediaman penyanyi itu pada Mei 2016.

Kemudian, seorang pengedar dadar yang dikenali sebagai Encik C pula ditahan. Polis mendapati BI antara pelanggan individu terbabit.

Walaupun dengan pe­ngakuan dua individu itu, polis tidak menyiasat sama ada BI terbabit atau tidak. Hal itu disebabkan Encik A menukar kenyataannya mengatakan BI tidak pernah membeli dadah seperti didakwa.

Sementara itu, agensi BI iaitu YG Entertainment tampil menafikan artis naungan mereka ada me­ngambil dadah.

“YG Entertainment sa­ngat tegas soal pengambilan dadah dalam kalangan artis kami. BI tiada kaitan dengan kes itu.

“YG membeli alat ujian dadah setiap dua bulan dari Amerika Syarikat untuk membuat ujian terhadap semua artis naungan kami. Tiada anggota iKON termasuklah BI yang positif dadah,” kata jurucakap YG Entertainment.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 4:00am
d