rap

'Arwah penggiat seni sejati' - Freddie Fernandez

Oleh Norhayati Nordin

LIMA dekad berjuang dalam industri hiburan tanpa jemu, ternyata semangat dan kecekalan Allahyarham Datuk A Rahman Hassan, 73, membuktikan Allahyarham penggiat seni sejati.

Aktif menyanyi sejak remaja pada era 60-an, bakat besar dimiliki Allahyarham dalam nyanyian dan muzik sangat dikagumi rakan dan kenalannya di sekolah.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez berkata, beliau mengenali arwah sejak di alam persekolahan.

“Kami anak jati Johor. Saya dan arwah pernah mendapat pendidikan sama di sekolah St Joseph, Jalan Abdul Rahman Andak, Johor Bharu.

“Namun, ketika itu saya darjah tiga manakala arwah A Rahman di tingkatan tiga. Apapun, saya kagum dengan minat arwah terhadap muzik sejak sekolah.

“Ini kerana, saya pernah menyaksikan persembahan arwah di padang sekolah bersama beberapa rakan kugirannya. Vokal arwah lunak,” katanya.

Freddie berkata A Rahman gigih memberikan persembahan terbaik dalam setiap nyanyian dan muzik diperjuangkan malah dia menyanjung tinggi bakat seni rakannya itu yang turut menjadi inspirasi diri.

“Persahabatan saya dan arwah menjadi rapat pada era 80-an apabila kami menerusi persatuan masing-masing bekerjasama untuk membanteras penganjuran konsert rock.

“Saya ketika itu menaungi Persatuan Kesatuan Muzik manakala arwah pula Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (PAPITA ) pada 1986.

“Kami bekerjasama dan beliau di mata saya ialah penggiat seni sejati. Di sebalik bicara yang lembut, arwah berpendirian tegas dalam perjuangannya.

“Kini, industri hiburan tanah air kehilangan permata seni yang memiliki semangat juang tinggi. Arwah sangat komited dengan bidang seni,” katanya.

Ujar Freddie, beliau akan terus mengenang persahabatan mereka serta takkan berhenti memperjuangkan industri hiburan terutama seni suara dan muzik tanah air.

Terdahulu, A Rahman dilaporkan meninggal dunia pada jam 12.40 malam tadi akibat strok dan pendarahan otak di Hospital Ampang.

Ia disahkan anak sulung penyanyi era Pop Yeh Yeh terkenal itu, Khir Rahman yang memberitahu arwah menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga.

A Rahman yang juga pengasas kugiran Orkes Nirwana Johor Bahru (ONJB) pada era 60-an cukup popular dengan lagu Tak Mengapa, Syurga Idaman, Pergilah Kandaku dan Dikaulah Harapan.

ONJB ditubuhkan arwah pada 25 Mac 1965 dan kugiran itu pernah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records pada 2015 sebagai kumpulan Pop Yeh Yeh paling lama bertahan iaitu selama setengah abad.

ONJB dianggotai enam ahli iaitu A Rahman selaku pemimpin, penyanyi, pencita dan pemain gitar utama; Datin Azizah Mohamad (vokal); E Elias (gitar bes); B Badrun (gitar); A Rozie Ashari (tamborin); dan M Radzi Jamil (dram).

Selepas kematian Azizah pada 26 April 2013 akibat kanser pangkal rahim, ONJB diperkuatkan A Rahman dengN tiga muka baharu yang salah seorangnya, isteri baru beliau, Datin Fadillah Mansor yang bermain tamborin.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 12:42pm
d