rap

A Rahman tak lupa kawan

Oleh Norhayati Nordin dan Syanty Octavia Amry

"ALLAHYARHAM Datuk A Rahman Hassan yang saya kenal memiliki semangat juang tinggi serta tidak pernah melupakan rakan-rakan.

"Sejak muzik Pop Yeh Yeh meletop pada era 60-an sampailah sekarang, arwah tidak pernah lupa memanggil saya sebagai penyanyi undangan," kata penyanyi lagu Mas Mona, Datuk Jeffrydin.

Jeffrydin, 73, atau nama sebenarnya Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman memberitahu A Rahman juga gemar bertanya dan meminta pandangan rakan-rakan.

Ujarnya, arwah suka berkongsi. Beliau akan selalu bertanya dengan rakan sebelum terbabit dalam apa sahaja persembahan.

"Allahyarham rakan paling rapat saya yang sentiasa akan bertanya khabar, dah makan atau belum serta selalu berhubung.

"Arwah juga selalu ajak minum teh bersamanya malam-malam dan kami suka lepak minum di taman tasik di ibu kota.

"Dia ( A Rahman) suka makan roti canai banjir. Selalunya, dia makan dua keping baru kenyang dan saya pula terus kenyang bila tengok dia makan," ujarnya.

Menurut Jeffrydin, beliau selalu mengingatkan A Rahman supaya menjaga pemakanan serta banyak berehat kerana faktor usia.

"Sebenarnya, arwah dalam perancangan mengadakan konsert bersama rakan-rakan era Pop Yeh Yeh yang masih ada untuk hiburkan penonton.

"Ikut perancangan, konsert itu dijangka berlangsung sekitar tahun depan kerana sekarang dalam proses mendapatkan tajaan.

"Saya selalu juga menghubungi arwah bertanya perkembangan konsert dan dia akan mengadu pening kepala kerana banyak nak fikir," katanya.

Jeffrydin turut mendedahkan sudah puas menasihati dan mengingatkan arwah agak jangan terlalu tertekan dan buat ikut kemampuan.

Jeffrydin berkongsi ada menziarah A Rahman ketika mendapat rawatan di hospital pada Ramadan lalu sebelum balik ke Singapura meraikan sambutan Aidilfitri.

"Saya ada berpesan supaya arwah berehat di hospital sampai pulih. Namun, arwah minta keluar hospital dan pulang beraya di rumah.

"Meskipun kini arwah sudah tiada, saya bersama rakan era Pop Yeh Yeh yang lain akan meneruskan impiannya untuk penganjuran konsert istimewa yang dirancang itu," katanya.

A Rahman, 73, disahkan meninggal dunia di sisi keluarga jam 12.40 malam tadi akibat strok dan pendarahan otak di Hospital Ampang.

Terdahulu, arwah yang juga vokalis dan pemain gitar kugiran Orkes Nirwana Johor Bahru (ONJB) itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang selepas pitam di sebuah stesen minyak di Ampang.

Kejadian berlaku pada jam 10 malam 10 Jun itu menyaksikan A Rahman diselamatkan serta dihantar ke hospital menaiki ambulan.

Arwah yang mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Allahyarham Datin Azizah Mohamad memiliki tiga orang anak.

Selepas Azizah meninggal dunia pada 26 April 2013, A Rahman bernikah pula dengan pelakon Datin Fadillah Mansor pada 2014.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 3:25pm
d