rap

'Papa sudah tiada' - Sheahnee

Oleh Ramlah Zainal

BEKAS personaliti ntv7, Sheahnee Iman Lee berkongsi kesedihan mengenai kehilangan bapa mentuanya, Allahyarham Habibur Rahman, 73, yang meninggal dunia, malam kelmarin.

Bapa hos Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) Nazrudin Habibur Rahman atau Naz meninggal dunia pada jam 7.45 malam kerana kanser buah pinggang.

Menerusi akaun Instagram, Sheahnee memuat naik status bersyukur kerana dapat mengenali arwah bapa mentuanya.

“Papa kembali ke Rahmatullah. Papa satu-satunya insan yang saya percaya kerana dia bersikap adil, mempunyai objektif dan bijaksana.

“Allahyarham juga melayan saya seperti anak perempuannya sendiri dan menerima kehadiran saya dengan tangan terbuka dalam keluarga mereka,” tulisnya.

Sheahnee turut berterima kasih kepada semua individu yang meluangkan masa bersama arwah pada Ramadan dan Aidilfitri lalu.

“Juga kepada mereka yang sempat menziarahi arwah sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya,” katanya.

Terdahulu, Nazrudin dalam kenyataan kepada media memberitahu bapanya menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur dan doktor mengesahkan keadaan arwah semakin baik.

Namun bapanya tiba-tiba sesak nafas dan dikejarkan ke hospital sebelum doktor mengesahkan arwah sudah meninggal dunia.

Jenazah Allahyarham Habibur Rahman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang selepas solat Zohor petang semalam.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 6:48pm
d