rap

Bunga tari mempersonakan

Oleh Ardini Sophia Sina

SEJAK bergelar pelakon pada 2012, nama Shin Hye-sun mula disebut antara bintang berbakat besar selepas mempamerkan corak lakonan ‘matang’ menerusi drama Thirty But Seventeen.

Tampil dengan naskhah baharu berjudul Angel’s Last Mission: Love, wataknya sebagai penari balet profesional mengagumkan penonton.

Hye-sun sama sekali tidak kekok dan ‘bunga’ tarinya sangat mempesonakan.

Bagaimanapun, hanya dia yang tahu susah payah serta usaha yang dilakukan supaya berjaya membawakan watak itu dengan baik. Malah, dia juga beberapa kali menghadiri kelas tarian.

“Penari balet mempunyai bentuk badan menarik serta fleksibel. Bagi seseorang yang tidak mempunyai sebarang asas tarian, ia bukan mudah. Bagi menjayakan watak itu, saya turunkan berat badan supaya bentuk fizikal kelihatan lebih langsing sama seperti penari balet profesional.

“Saya juga menghadiri beberapa kelas balet dan ketika penggambaran ada guru yang turut hadir membantu gerak tari agar tidak kelihatan kekok. Ia bukan mudah, tetapi saya sangat seronok,” katanya.

Di awal cerita, watak Lee Yeon-seo lakonannya buta disebabkan kemalangan. Oleh itu, Hye-sun sanggup hadir ke sebuah acara yang mengenai orang buta bagi memahami dengan lebih dalam wataknya itu.

“Sebelum penggambaran, saya sempat hadir sebuah acara kesedaran mengenai orang buta. Ada satu bilik yang orang ramai boleh masuk dan bilik itu sangat gelap. Memang langsung tidak ada cahaya walaupun sikit.

“Daripada pengalaman itu saya cuba bawakan watak Lee Yeon-seo yang buta. Sejujurnya, saya tidak tahu bagaimana pelakon lain boleh lakonkan watak orang buta dengan baik,” katanya yang masih merasakan kekurangan dalam lakonannya.

Mendapat pujian daripada penonton, kata Hye-sun, dia sangat terharu dengan maklum balas positif dan berharap pengikut drama itu akan terus memberikan sokongan sehingga episod terakhir.

Masih berbaki 16 episod, Hye-sun bagaimanapun enggan memberikan ‘teaser’ kerana tidak mahu merosakkan keterujaan peminat.

Katanya, biar mereka menunggu dengan sabar.

“Saya rasa tidak perlu saya berikan bayangan untuk episod seterusnya. Biar penonton menanti dengan sabar. Saya tidak mahu rosakkan keseronokan mereka. Kalau berikan bayangan, nanti ada yang boleh teka apa yang berlaku untuk episod akan datang.

“Terus terang, saya rasakan ada banyak kekurangan dalam lakonan yang perlu saya perbaiki lagi namun saya gembira kerana penonton memuji lakonan saya. Terima kasih atas sokongan,” katanya.

Mengulas keserasiannya dengan L dari kumpulan Infinte, Hye-sun bertuah kerana tidak perlu bekerja terlalu keras untuk mewujudkan kesefahaman antara mereka.

“Kerjasama antara kami sangat mudah. Saya tidak perlu bekerja keras untuk wujudkan keserasian kerana sikapnya sama seperti saya. Mungkin disebabkan itu juga penonton melihat lakonan kami kelihatan ‘real’ apatah lagi pada babak romantik,” katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 5:00am
d