rap

'Semua akan selesai tak lama lagi' - Abam Bocey

Oleh Norhayati Nordin

PELAWAK dan anggota Bocey, Abam sudah berbincang dengan isterinya, Siti Norhidayah berhubung perancangan untuk bersua muka dengan individu mengguna pengenalan diri ‘Lau Kok Chan’.

Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan berkata, segala-galanya kini dalam proses penyelesaian.

“Insya-Allah, ia akan selesai tidak lama lagi. Saya pun sudah berbincang dengan isteri berkaitan perkara ini,” katanya ringkas.

Menurut Abam, dia bersyukur kerana ramai sudi membantunya terutama rakan dalam usaha mengesan individu berkenaan.

“Syukur, ada kawan-kawan yang membantu beri maklumat untuk saya mengesan individu terbabit.

“Terima kasih diucapkan kepada semua yang membantu saya. Insya-Allah, isu ini akan berakhir,” katanya.

Menerusi laporan Harian Metro sebelum ini, Abam dikatakan mahu bertemu individu mengguna pengenalan ‘Lau Kok Chan’ di Facebook (FB) yang menulis komen berbaur penghinaan selepas perkongsian dibuatnya di media sosial berkaitan kelahiran anak sulung pada Jumaat lalu.

Abam yang mendirikan rumah tangga dengan Siti Norhidayah pada 8 Disember 2017 dikurniakan anak lelaki.

Setakat ini, Abam memanggil puteranya dengan panggilan ‘Syed Kecik’ kerana masih memilih nama.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 7:21pm
d