rap

'Maaf sebab simpan rahsia' - Sam Bunkface

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI Bunkface, Sam meminta maaf kerana merahsiakan perceraiannya dengan bekas isteri, Aida Azira Hussin sejak Januari lalu.

Sam, 32, berkata, dia berbuat demikian kerana mahu menjaga privasi keluarga kedua belah pihak.

Sam tampil dengan kenyataan di Instagram dia sudah bercerai selepas portal Harian Metro melaporkan berita perceraian mereka menerusi kenyataan Aida, petang semalam.

“Saya ingin mengesahkan bahawa pada Januari lalu, saya dan Aida sudah memfailkan perceraian kami di Mahkamah Syariah.

“Perkahwinan kami yang bertahan selama empat tahun diakhiri dengan persetujuan bersama dan demi kebaikan diri masing-masing. Saya ingin meminta maaf kerana menyimpan berita ini selama beberapa bulan. Ini adalah kerana saya sangat menjaga privasi keluarga dan juga demi menjaga perasaan mereka termasuk keluarga Aida,” katanya.

Dalam pada itu, Sam mengakui hubungannya dengan Aida masih baik dan dia berterima kasih dengan sokongan semua terhadap perkahwinannya selama ini.

“Walaupun kami tidak lagi tinggal bersama, tetapi hubungan saya dengan bekas isteri masih lagi baik dan kami berhubung demi urusan menjaga Maleeq.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan kepada kami terutamanya yang menyokong karier kami dalam industri ini. Doakan saya tabah meneruskan perjalanan di bumi Allah ini,” katanya.

Terdahulu, Aida tampil mengesahkan dia dan Sam sudah bercerai pada hujung Januari lalu.

Aida berkata, perceraian itu dibuat atas keputusan bersama dan kedua belah keluarga reda serta merestui keputusan itu.

Baru-baru ini, Sam juga tampil memberi kenyataan masih tinggal bersama Aida walaupun rumah tangga mereka mengalami sedikit pergolakan.

Penyanyi terbabit turut bertindak memadam foto bersama isterinya di Instagram dengan alasan ingin menggunakan platform itu untuk kerjaya saja.

Aida dan Sam mendirikan rumah tangga pada 25 April 2015. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Maleeq yang kini berusia dua tahun.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 12:24am
d