rap

Amar Asyraf dapat anak kedua

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA memilih untuk berkongsi berita kelahiran anak kedua kami pada hari ini sempena Jumaat yang penuh berkat.

“Saya harap peminat juga menghormati keputusan kami untuk berkongsi gambar bayi perempuan ini hanya selepas enam hari kelahirannya,” kata pelakon Amar Asyraf, 32, mengulas berita kelahiran anak keduanya itu yang dilahirkan pada 16 Jun lalu.

Menurut pelakon drama Setia Hujung Nyawa itu, isterinya Arna Salleh, 32, juga selamat melahirkan anak kedua mereka, Ammara Dian dengan berat 2.69 kilogram pada jam 6.55 petang Ahad lalu iaitu tiga hari lebih awal daripada jangkaan doktor di Hospital Sungai Buloh.

“Sepatutnya isteri dijangka melahirkan anak kedua kami di pusat perubatan swasta tetapi tidak sempat kerana isteri sudah sakit hendak bersalin dan terpaksa dikejarkan ke hospital berhampiran kediaman.

“Alhamdulillah, proses kelahiran anak kedua kami juga mudah dan secara normal.

“Saya juga sempat menyaksikan proses kelahiran anak kedua kami di wad bersalin selama 10 minit dan ia pengalaman sukar dilupakan,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia juga bersyukur kerana kehidupannya dan keluarga kini sudah lengkap dengan kelahiran anak kedua mereka.

“Saya memang mahukan anak perempuan dan kini sudah lengkap sepasang.

“Saya dan isteri juga sepakat memilih nama Ammara Dian untuk bayi perempuan kami ini. Jika ada rezeki saya juga mahukan anak yang ramai,” katanya.

Perkongsian Amar mengenai kelahiran anak keduanya di laman Instagram turut mendapat perhatian rakan artis yang turut mengucapkan tahniah seperti pelakon Sari Yanti, Faralyna Idris, Puteri Aishah, Sharifah Shahora, Azrel Ismail dan ramai lagi.

Amar berkahwin dengan Arna Salleh pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Amar Taufiq, 4.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 4:26pm
d