rap

Tasha Manshahar timang anak lelaki

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI, Tasha Manshahar selamat melahirkan anak lelaki seberat 3.5 kilogram di sebuah pusat perubatan di Bandar Baru Bangi, petang semalam.

Suami Tasha, Raqib Majid yang juga bekas penyanyi dan pengacara berkata, bayi dan isterinya dalam keadaan sihat serta dijangka dibenarkan keluar esok.

“Ini perasaan yang tidak dapat saya gambarkan. Gembira sampai tak sedar air mata mengalir. Syukur kepada Allah SWT.

“Terima kasih tidak terhingga kepada peminat dan semua pihak yang mendoakan isteri saya.

“Alhamdulillah, isteri dan bayi sihat. Itu yang paling penting. Sejak isteri dimasukkan wad Rabu lalu, saya sentiasa berdoa supaya berikan jalan yang terbaik,” katanya kepada Harian Metro.

Raqib turut berkongsi pengalaman berada di bilik bersalin bagi menemani isterinya.

Katanya, doktor bertanya sama ada mahu masuk teman isteri atau tidak dan tanpa berfikir panjang dia terus jawab hendak.

“Walaupun ada rakan yang cakap kalau takut jangan masuk, tapi saya kuatkan semangat. Sebabnya, ada yang pengsan di bilik bersalin ketika menemani isteri mereka.

“Saya bersyukur, Allah berikan kekuatan itu. Saya ada sejak awal hingga isteri selamat bersalin. Sebak dan tersentuh saya melihat perjuangan isteri.

“Tidak dilupakan Abang Long, Nafidz Razak iaitu Pengarah Urusan Kumpulan Megaklinik Zahran bersama isteri yang banyak membantu kami sepanjang perjalanan kandungan sehinggalah kelahiran cahaya mata kami,” katanya.

Raqib dan Tasha berkahwin pada 8 September tahun lalu.

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 12:56am
d