rap

Titip doa buat ibu

Oleh Norhayati Nordin

TIADA apa yang lebih bermakna buat anak lelaki melainkan dapat mengurus sendiri ‘perjalanan terakhir’ ibu bapanya menghadap Yang Maha Esa. Itu dilakukan penyanyi, pelakon, pengarah dan penyampai radio, Asmawi Ani atau Mawi, 38, yang bersyukur mendapat kesempatan mengimamkan solat jenazah Allahyarham ibunya, Ramlah Sarlan, 73, yang meninggal dunia pada Khamis lalu.

Menurut Mawi, pengorbanan ibu bapa sangat besar buat anak. Dari kecil hingga dewasa, kasih sayang dicurahkan berterusan.

“Sebagai anak, saya bersyukur kerana Allah sudah beri peluang buat saya berbakti kepada orang tua hingga akhir hayat mereka. Tidak pernah sesekali dilupakan.

“Kini, saya reda dengan ketentuan takdir. Alhamdulillah, ibu pergi dengan tenang dan segala urusannya mudah dan lancar,” katanya.

Allahyarham Ramlah menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di FELDA Taib Andak, Kulai, Johor, jam 8.10 malam, Khamis lalu akibat komplikasi beberapa penyakit.

Tenang menghadapi kehilangan besar kali kedua dalam hidupnya, Mawi berkata, kini dia akan merindui arwah ibu bapanya dan hanya mampu menitip doa setiap hari buat mereka.

“Semoga arwah ibu bapa saya tenang di alam sana (barzakh) dan roh mereka di tempatkan dalam kalangan orang beriman serta mendapat rahmat Allah.

“Saya sangat bersyukur untuk terakhir kali dapat menguruskan perjalanan terakhir Allahyarham ibu menghadap Yang Maha Esa dengan mengimamkan solat jenazahnya.

“Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah kerana memberi saya peluang dan kesempatan ini yang menjadi kenangan bermakna,” katanya.

Berkongsi cerita penyakit ibunya, juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu memberitahu arwah sudah lama sakit, tetapi tidak begitu serius. Cuma, lebih seminggu lalu ibunya dimasukkan ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.

Sehubungan itu, jenazah Allahyarham Ramlah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak sebelum solat Zuhur. Terdahulu, Mawi kehilangan bapanya, Allahyarham Ani Ahmad di usia 66 tahun pada 2006 akibat masalah jantung.

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 4:30am
d