rap

Jam tangan Ruhainies RM17,000

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Ruhainies mengakui jam tangan jenama Dior yang digunakan berharga lebih RM17,000 seperti hangat diperkatakan pengguna laman sosial ketika ini.

Ruhainies, 27, atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, jam itu adalah hadiah daripada kekasihnya yang dikenali sebagai Mr E sempena hari jadinya tahun lalu.

"Jam ini sudah lama saya pakai, tapi tak tahu kenapa orang baru bercakap. Disebabkan kekasih seorang pengumpul koleksi jam tangan edisi terhad, jadi dia pun menghadiahkan saya seutas jam tangan.

"Orang bagi hadiah, takkan kita nak tolak? Lagipun dia kekasih saya, apa salahnya? Saya bukan jenis orang yang meminta. Apa yang diberi saya ambil. Tahun lalu pun pelbagai hadiah diberikan.

"Ini pertama kali saya pakai jam berharga belasan ribu ringgit. Saya pernah beli sendiri, tapi tidaklah semahal itu. Saya beli mengikut kemampuan saja," katanya.

Ruhainies berkata, kekasihnya yang juga ahli perniagaan itu pernah menghadiahkan sebentuk cincin yang ditempah khas sebagai tanda cinta mereka dan melamarnya berlatar belakangkan Plaza Duomo Milan, Itali.

"Kalau cincin nak merisik atau bertunang belum lagi. Seperti pernah dikatakan sebelum ini, saya nak dahulukan kakak, Risteena. Insya-Allah, majlis perkahwinannya berlangsung November ini.

"Selepas itu, baru fikir saya pula. Kami sudah ada perancangan ke arah itu, cuma belum ditetapkan bila. Kalau boleh, biarlah kami fokus pada kerjaya masing-masing. Insya-Allah, kalau ada jodoh tak ke mana," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 2:01pm
d