rap

Lana Nordin mahu menetap di Brunei

Oleh Ramlah Zainal

PELAKON Lana Nordin dan suaminya, Mohd Daud McKienzie berhasrat berhijrah dan menetap di Brunei Darussalam tahun depan.

Menurut pelakon filem Biasan itu, mereka sepakat untuk menetap di Brunei kerana suaminya mendapat tawaran kerja yang bagus di negara itu.

“Suami saya pernah bekerja di lebih 30 negara dan Brunei jadi pilihan kami. Saya merancang untuk berniaga di sana. Buat masa ini, suami masih mencari rumah sesuai untuk kami sekeluarga.

“Mungkin kami akan menyewa dulu dan menyesuaikan diri dengan kehidupan di sana sebelum merancang untuk terus bermastautin,” katanya yang ditemui di majlis rumah terbuka di kediamannya di Ampang semalam.

Ditanya kenapa memilih untuk menetap di Brunei, ibu kepada dua cahaya mata itu menjelaskan suaminya mahukan kehidupan yang lebih tenang dan sesuai untuk membina keluarga.

“Suami merancang untuk beli tanah dan membina rumah di kawasan kampung kerana dia tidak suka dengan kehidupan yang penuh tekanan. “Kadar jenayah di Brunei juga rendah berbanding negara lain dan ia sesuai untuk kami membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang lebih baik,” katanya.

Bagaimanapun, kata Lana, mereka masih berulang-alik ke Amerika Syarikat memandangkan Daud ada komitmen kerja di sana.

“Suami tidak mahu menetap di Amerika Syarikat dan kalau kami balik ke sana pun tiga bulan sekali atas urusan kerja.

“Selain Amerika Syarikat, kami akan ke Maldives dan Itali kerana suami ada komitmen kerja di sana dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 4:21pm
d