rap

Sebarkan kesedaran, bukan nak kejar 'trending'

Oleh Georgie Joseph

PELAKON Maya Karin menafikan tindakannya kerap membangkitkan isu mengenai pemuliharaan alam sekitar dan haiwan liar bertujuan sekadar meraih perhatian sekelip mata.

Maya, 39, sebaliknya terkejut dengan sambutan luar biasa pengikutnya di media sosial yang memberi sokongan terhadap perjuangannya menyebarkan mesej positif mengenai alam sekitar.

“Saya menyebarkan kesedaran begitu bukan bertujuan mengejar ‘trending’. Sebaliknya, saya sendiri terkejut apabila tweet di Twitter mencapai sehingga puluhan ribu ‘retweet’.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira melihat masyarakat terutama orang muda lebih bangkit dan ada kesedaran tinggi. Padahal saya tak pernah rancang pun apa yang dikongsikan di media sosial.

“Saya tiada pasukan pemasaran atau buat sebarang perbincangan untuk itu. Sokongan ini semua berpunca daripada tindak balas positif rakyat Malaysia sendiri,” katanya.

Maya juga akan meneruskan aktiviti membangkitkan kesedaran alam sekitar dan menganggap aktiviti berkenaan sangat penting sebagai sebahagian daripada dirinya.

“Saya tidak pasti lagi sama ada selepas ini akan berkeluarga. Saya rasa aktiviti begini adalah ‘baby’ saya.

“Kita kena teruskan momentum untuk terus mendesak semua pihak mengenai kesedaran penjagaan alam sekitar,” katanya.

Menyusul, Maya juga bakal menjayakan Program Amal Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) 2019 pada 20 Julai ini, jam 7 pagi di Stadium Mini Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Acara anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) YOKUK itu turut dimeriahkan dua lagi selebriti iaitu Fara Fauzana dan Andi Bernadee.

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 7:34pm
d