rap

Kilafairy tak kisah dikritik warganet

Oleh Syanty Octavia Amry

PELAKON Kilafairy enggan memberi komen berlebihan berhubung isunya memuat naik gambar di Instagram (IG) menyarung pakaian bercorak kulit ular sawa baru-baru ini.

Kila, 27, ketika ditemui berkata, walaupun sudah ramai wartawan yang bertanyakan mengenai perkara itu, dia tidak mahu ia terus dipersoalkan.

"Saya tidak mahu komen lebih-lebih mengenai perkara ini, apa yang boleh dikatakan saya selesa dan suka dengan apa yang dipakai.

"Kadang-kadang saya juga merujuk kepada ibu bapa untuk tampil dengan apa yang dipakai, tetapi biasalah saya ini degil orangnya, walaupun sudah dilarang pakai juga," katanya.

Kila ditemui pada majlis pelancaran produk makanan tambahan miliknya, Kilafit berkata, dia sedikit pun tidak ambil kisah mengenai kritikan warganet.

Baginya, apa yang penting ibu bapa dan keluarga tahu apa dipakai dan dilakukannya.

"Saya tidak pernah ambil kisah mengenai komen warganet malah saya tidak pernah membaca komen mereka.

"Saya berbuat begini kerana tidak mahu sesuatu isu itu terus diperkatakan. Bila saya mengambil langkah untuk tidak komen lebih-lebih nanti mereka akan diam juga," katanya.

Terdahulu, Kila memuat naik beberapa foto di IG miliknya dengan menggayakan pakaian bercorak kulit ular sawa ketika menghadiri acara pelancaran kosmetik ternama.

Ternyata perkongsian yang dibuat oleh Kila itu mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan pengikutnya serta warganet dan berharap dia lebih peka dengan pemilihan pakaian.

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 8:45pm
d