rap

El Saifuddin sah tinggalkan Hot FM

Oleh Najiy Jefri

PENYAMPAI radio Hot FM, El Saifuddin mengesahkan meninggalkan stesen radio itu bermula hari ini.

El atau nama sebenarnya Muhammad Saifuddin Rashid ketika dihubungi berkata, dia mengambil keputusan terbabit kerana ingin meneroka bidang lain yang dirasakan dapat membantu dirinya lebih maju.

"Saya akan teruskan kerjaya ini di luar apabila mengambil keputusan untuk meninggalkan Hot FM hari ini.

"Selepas hampir enam tahun berkhidmat dengan Hot FM, saya kira sudah tiba masanya untuk mencuba sesuatu yang baru dan lebih mencabar," katanya.

Menurut El, meskipun berat hati meninggalkan Hot FM, namun dia percaya rezeki Allah itu luas untuk hamba-Nya.

"Hot FM sudah ibarat sebahagian daripada keluarga saya. Banyak pahit manis dilalui bersama sejak saya bermula sebagai kru di Hot FM Terengganu.

"Stesen radio ini juga sudah banyak mendidik dan mengajar saya mengenai selok-belok dunia penyiaran," katanya.

Ditanya adakah El disunting oleh mana-mana stesen radio memandangkan keputusan yang diambil agak drastik, El berkata belum ada sebarang tawaran daripada mana-mana stesen radio tempatan saat ini.

"Kalau ada rezeki di tempat lain saya okey saja. Saya nak juga bantu dan menyerikan stesen radio lain.

"Mana tahu kehadiran saya itu bakal menambah warna dan memberi nafas baru kepada stesen radio terbabit," katanya.

Sepanjang bersama Hot FM, El mengendalikan segmen Muzik Hot bermula jam 10 pagi hingga 4 petang. El juga pernah bergandingan dengan Haziq Hot FM menerusi segmen Mega Hot.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 5:39pm
d