rap

'Bukan tak bersyukur' - Adam

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PELAKON dan usahawan, Adam Corrie, 50, menafikan tohmahan masyarakat dia seorang yang tidak bersyukur berikutan ujian menimpanya Ramadan lalu. Pelakon filem KL Gangster itu ketika ditemui berkata, perkongsian masalah dihadapi bulan lalu hanyalah sekadar luahan selepas ditanya media.

“Ia hanya salah faham. Saya bukan merungut atau menuduh sesiapa, saya cuma cakap tiada kemeriahan hari raya, padahal tahun-tahun sebelum ini sangat meriah. Selepas Jalan TAR (Tuanku Abdul Rahman) ditutup untuk peniaga, pelanggan hampir tiada.

“Peniaga lain di tempat saya juga mengalami masalah sama, nak bayar sewa pun tak lepas walhal lagi 10 hari nak raya,” katanya memang agak bimbang ketika itu.

Hanya selepas minggu ketiga, barulah mula nampak sikit sumber kewangan untuk membayar sewa tapak.

Katanya, dia hanya meluahkan kebimbangan jualan produknya tidak dapat menampung sewa kedai tapi entah bagaimana kisahnya itu disalah anggap sebagai tiada sambutan dan tidak menghargai rezeki Allah.

Disebabkan salah faham itu, dia dihentam dan dikutuk di media sosial selain ada segelintir pihak yang ‘menyerangnya’ di butik.

“Orang kutuk saya macam-macam. Kata mereka nama saja belajar agama (Islam) tetapi tidak percaya pada rezeki Allah. Saya tidak merungut, hanya cakap tiada kemeriahan suasana hari raya. Saya kata memang betul rezeki itu daripada Allah dan sentiasa mengharapkan bantuan daripada-Nya.

“Waktu itu saya jadi hilang fokus ditambah pula anak isteri demam teruk, jadi saya nak buat apa? Pastinya saya akan risau,” katanya.

Malah, Adam turut mendedahkan ada pelanggan datang ke butik dan mengecamnya secara berdepan dan mempersoal ‘rungutan’ dan sebagainya.

Katanya, dia belum pernah berdepan ujian seperti itu sejak mula bergelar usahawan pakaian beberapa tahun lalu.

“Pernah sekali ketika berdiri di tepi jalan di persimpangan lampu isyarat, penunggang motosikal tegur dan memberi kata-kata semangat dan mencadangkan berniaga dalam talian saja.

“Saya kata pernah buat semua itu (jualan dalam talian) dan hanya mampu bersabar dengan semua kecaman,” kata­nya.

Biarpun diuji sedemikian rupa, Adam yang memeluk Islam pada 2007, terus melakukan solat Tahajud setiap malam.

Katanya, apabila bertahajud, fikirannya mulai tenang kerana menyerahkan segala pengharapan kepada Allah selepas berusaha.

“Alhamdulillah, satu demi satu bantuan daripada Allah saya dapat. Ramai artis datang dan memberi sokongan dengan membeli di butik saya dan peniaga lain di sana.

“Ada juga pelanggan dari Singapura sanggup mengambil penerbangan ke Kuala Lumpur dan kembali semula ke negara mereka, semata-mata mahu membeli baju di butik saya,” katanya terharu.

Terbaharu, Adam turut aktif dengan Usrah Fitrah yang turut disertai ramai artis tempatan. Dia juga bakal muncul dengan filem berjudul Ada Apa Dengan Dosa arahan Rahila Ali, terbitan Pencil Pictures Sdn Bhd penghujung tahun ini.

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 5:00am
d