rap

Aiman berfikiran jauh

Oleh Najiy Jefri

MENYAMBUT ulang tahun kelahiran pada Khamis lalu, Aiman Tino mengakui banyak perkara yang mendewasakannya.

Kata penyanyi yang menginjak usia 21 tahun ini, tiada apa yang difikirkannya melainkan menggembirakan ibu bapa serta adik-beradik yang masih kecil.

Aiman juga berkongsi mahu menceburi bidang perniagaan secara serius sebagai langkah persiapan diri.

“Alhamdulillah, dengan rezeki panjang umur yang diberikan Allah, saya rasa sudah tiba masanya memikirkan sesuatu dalam hidup ini.

“Saya sebenarnya merancang untuk menceburi bidang perniagaan memandangkan masih aktif dalam industri seni, selain percaya perniagaan mampu memberi keuntungan yang lumayan.

“Lagipun, tanggungjawab saya terhadap adik-adik belum selesai. Mereka semua masih kecil, jadi saya perlu fikirkan sesuatu,”katanya.

Ditanya, adakah pada usia ini dia sudah memiliki teman hidup, Aiman pantas menegaskan hatinya belum dimiliki.

“Belum masanya nak bercinta. Banyak lagi perkara yang perlu saya urus dan buat.

“Saya nak kehidupan saya stabil terlebih dahulu, baru fikir mengenai kekasih. Saya tidak terburu-buru ke arah itu. Usia saya pun baru 21 tahun,” katanya.

Selain menyambut ulang tahun kelahiran ke -21, Aiman mengadakan rumah terbuka bersama peminat dalam majlis yang diadakan di sebuah dewan di Shah Alam, Selangor.

Kira-kira 200 peminat hadir pada majlis terbabit dan pelbagai juadah disediakan termasuk durian serta kambing golek.

“Setiap tahun saya akan cuba mengadakan rumah terbuka untuk peminat. Mereka nadi kekuatan dan tulang belakang saya.

“Pada saat saya diuji dan berdepan tekanan, mereka yang sentiasa memberi saya semangat untuk menjadi lebih kuat dan terus maju ke depan.

“Maka, dengan majlis ini, diharapkan hubungan silaturahim antara kami akan lebih erat,” katanya.

Selain peminat, majlis terbabit juga dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tempatan seperti Sufian Suhaimi, Afieq Syazwan, Didie Alias dan ramai lagi.

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 7:00am
d