rap

Nantikan video muzik 'Peneman'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

VIDEO muzik sangat penting bagi sesebuah lagu malah ia sentiasa dinanti peminat.

Jika hasilnya menarik dan kena dengan jalan cerita lirik lagu, tentu akan diingati dan berkesan di hati penonton.

Menyedari hakikat itu, Hazama terpanggil menghasilkan video muzik single terbaharu ciptaan Tam Spider, Peneman.

Di YouTube, video lirik Peneman yang dimuat naik sejak dua bulan lalu mencatat lebih dua juta tontonan dan pasti video muziknya dinanti ramai peminat setia penyanyi itu.

“Peneman dimuat naik di YouTube sejak dua bulan lalu, manakala di radio diputarkan bulan lalu.

“Sekarang, sampai masa untuk kami melancarkan video muzik lagu ini yang diarahkan Irwan Rauf,” katanya.

Secara ringkas, video muzik Peneman lakonan Hazama dan bintang baharu, Scha Elinnea memaparkan kisah cinta yang terpisah kerana ajal.

“Dalam video muzik ini saya jadi pencuri karya seni dan sudah berjanji dengan kekasih tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

“Namun, saya mungkir janji dan masih melakukan jenayah itu. Kekasih saya marah tetapi masih memaafkan. Dia kemudian dibunuh penjenayah lain,” katanya.

Mesej yang ingin disampaikan menerusi video muzik itu adalah penyesalan dalam kehidupan selain hakikat bahawa manusia memerlukan pasangan.

Berkongsi mengenai lagu baharu itu, Hazama berkata dia mengambil masa yang lama untuk memujuk Tam.

“Pada mulanya Tam hasilkan lagu ini untuk dirinya. Ia akan jadi single solo terbarunya.

“Namun, sebaik saja dengar lagu ini saya terus jatuh hati.

“Jadi, saya pujuk Tam supaya berikan lagu ini kepada saya.

“Setahun juga saya ambil masa untuk dapatkan persetujuan daripadanya,” kata Hazama.

Ditanya mengenai proses rakaman lagu Peneman, Hazaman mendedahkan ia ambil masa selama 10 jam.

“Proses rakamannya ambil masa agak lama. Tam penerbit yang sangat cerewet. Dia mahukan hasil yang bagus.

“Siapa yang pernah bekerja dengan Tam pasti tahu betapa telitinya dia,” kata Hazama.

Selain muzik, Hazama juga bakal membintangi filem aksi ketenteraan.

“Insya-Allah, kalau semuanya berjalan lancar saya akan terbabit dalam filem aksi maritim berjudul Helang Laut. Daripada maklumat yang saya terima, penggambaran akan bermula Julai ini.

“Menariknya, saya ditawarkan watak antagonis, di samping kawan rapat saya, Black Hanifah,” katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 7:30am
d