rap

Halil Chik sudah tiada

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI era 80-an Halil Chik, 70, meninggal dunia akibat kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung ringan di Hospital Ampang, jam 7 pagi ini.

Allahyarham Halil dimandi serta dikafankan di hospital dan seterusnya dibawa ke Masjid Bukit Antarabangsa untuk solat jenazah.

Jenazah penyanyi yang popular dengan lagu Lenggang Mak Limah itu dijangka akan dikebumi d Tanah Perkiburan Islam Ukay Perdana selepas selesai solat Zohor.

Rakannya, Datuk Tommie Tumiran memberitahu kini beliau harus menunggu kedatangan ahli keluarga Allahyarham Halil yang kebanyakannya menetap di Singapura.

"Semua ahli keluarga arwah sudah dimaklumkan dan sekarang saya masih menunggu kedatangan mereka di Masjid Bukit Antarabangsa.

"Mereka (keluarga arwah) meminta saya menunggu dan harapnya dapatlah mereka sampai ke ibu kota dari Singapura sebelum jenazah selamat dikebumikan nanti," ujarnya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Allahyarham Halil dimasukkan ke Hospital Ampang selepas jatuh dari katil di kediamannya di Bukit Antarabangsa jam 9 malam, pada 19 Jun lalu.

Menurut Tommiie, beliau dihubungi anak Halil yang meminta bantuan datang ke rumah mereka kerana penyanyi itu tidak boleh bangun.

Ujar Tommy, dia kemudian memanggil seorang rakan berbadan sasa untuk mendokong Halil masuk ke kereta selepas dibawa turun dari kondominium kediaman penyanyi itu

Ketika mendapat rawatan di Hospital Ampang, doktor mengesahkan tekanan darah Halil tinggi melebihi bacaan 200 serta diserang strok dan memasukkanya di wad 6B untuk jagaan rapi.

Menurut Tommy, keadaan kesihatan Allahyarham Halil sebelum ini memang kurang baik apabila tidak bermaya untuk bercakap dan tidak berdaya berjalan.

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 12:13pm
d