rap

Amyra hamil lagi

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Amar Baharin yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 hari ini menerima kejutan paling terindah dalam hidupnya apabila isterinya yang juga pelakon Amyra Rosli disahkan hamil anak kedua.

Menerusi video yang dimuat naik di laman YouTube, Amar berkongsi detik bahagia pada sambutan hari kelahirannya itu.

"Hari ini 1 Julai 2019 adalah hari yang penuh bermakna sebab selain ulang tahun kelahiran yang ke-34, isteri saya Amyra Rosli bagi hadiah ‘pregnancy test’ (alat ujian kehamilan).

"Alhamdulillah, syukur. Semoga semua dapat mendoakan Amyra dan baby dalam kandungan," tulisnya.

Video berkenaan turut memaparkan Amar memegang alat ujian kehamilan dengan anggaran usia janin tiga minggu.

Dalam masa sama, Amar turut berkongsi kegembiraan di akaun Instagram milikmya selain meluahkan rasa syukur atas kurniaan terindah itu.

"Terima kasih Ya Allah atas rezeki ini," tulisnya.

Amar menikahi Amyra pada 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Aqeef Anaqi yang kini berusia dua tahun.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 1:22pm
d