rap

Kerana serai Dynas bentan

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SELEBRITI terkenal Dynas Mokhtar tidak ambil pusing kecaman warga net yang mengaitkan masalah bentan dihadapi sebelum ini dengan senaman yang dilakukan sewaktu mengandung dan berpantang selepas melahirkan anak ketiga, Edriel Obil.

Pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba itu ketika ditemui baru-baru ini menegaskan bentan itu tidak ada kena mengena dengan senaman yang dilakukan. Menurut Dynas, ramai netizen menyalahkan dirinya apabila bersenam.

“Ada yang menyindir siapa surah angkat kaki sedangkan senaman yang saya lakukan itu doktor yang ajar, begitu juga sewaktu berpantang. Tukang urut saya menyuruh melakukan perkara itu untuk menaikkan peranakan,” katanya.

Kata Dynas lagi, dia boleh meroyan sekiranya melayan komen yang dimuatnaik netizen.

“Saya tidak akan buat perkara itu kalau keadaan badan tidak mengizinkan. Saya melahirkan Obil secara normal. Lainlah kalau saya dibedah dan ada luka berjahit, memang pergerakan seperti itu tidak dibenarkan dalam tempoh berpantang,” katanya.

Jelas Dynas, mujur pengikutnya di laman sosial tidak ramai jadi mudah untuknya memantau komen negatif yang dimuat naik.

“Ada sahaja perkataan negatif ditulis. Saya tak akan baca dan terus padam. Kadang-kadang terkejut bila tengok orang yang komen. Budak sekolah yang belum bersunat dan belum menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya.

Sambung Dynas, ada juga perkongsian positif diterima membabitkan masalah bentan yang dialaminya pada hari ke-35 berpantang.

Dynas percaya ia berpunca daripada serai yang dicampurkan dalam makanannya.

“Ikut tubuh masing-masing. Memang serai itu elok tetapi tidak bagi semua orang. Malah dalam perkongsian itu ada yang berkata dia alah kepada lada hitam.

“Saya terkejut kerana lada hitam menjadi antara rempah yang diambil ibu berpantang untuk mengecutkan rahim. Namun dalam hal ini ia bergantung kepada daya ketahanan setiap individu,” katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 6:21pm
d