rap

Elly Mazlein takkan tarik diri lagi

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI dan pelakon, Elly Mazlein yang juga peserta program realiti Muzikal Lawak Superstar tidak akan mengulangi insiden tarik diri seperti pernah dilakukannya dalam program Gegar Vaganza sebelum ini.

Elly yang bergandingan dengan Bell Ngasri dan Rahim Sepahtu dalam kumpulan Libra itu berkata, dia akan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan persembahan komedi muzikal terbaik setiap minggu.

"Kali ini, saya tampil berkumpulan dan memang tak boleh nak lari ke mana. Jadi, saya akan 'hadap' semuanya setiap minggu dan berikan persembahan terbaik," katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi lagu Cukuplah Sekali itu lagi, dia juga teruja kerana ia kali pertama dia menyertai pertandingan berbentuk komedi.

"Sebelum ini, saya pernah menyertai pertandingan nyanyian dan kalau komedi, ada pengalaman dalam beberapa drama serta program televisyen.

"Bezanya kali ini ia adalah pertandingan dan rasa gemuruh ini memang sangat kuat kerana saya tahu akan ada juri serta undian daripada penonton," katanya.

Gandingan bersama dua rakan pelawak lelaki juga memberi peluang kepadanya bagi mengeksplorasi pelbagai idea untuk persembahan komedi.

"Saya baru mula bekerja dengan Bell baru-baru ini dan kali pertama bekerja bersama Rahim. Kedua-dua mereka sangat mudah serasi dengan saya dan kami bertiga melontarkan idea serta akan pilih yang terbaik," katanya,

Selain menjadi peserta program realiti itu, Elly juga sedang menjalani penggambaran drama bersiri Kau Yang Pertama untuk tayangan TV3.

Disiarkan pada: July 2, 2019 @ 2:49pm
d