rap

Sufian Suhaimi dipilih sebagai 'Most Admired Leaders'

Oleh Georgie Joseph

“SAYA ingatkan ia skim penipuan. Rupa-rupanya anugerah itu memang ada,” kata penyanyi popular Sufian Suhaimi yang dipilih sebagai penerima anugerah Most Admired Leaders (Pemimpin Paling Dikagumi) bagi kategori hiburan di Asia Awards 2019 yang akan berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur 26 Ogos ini.

Sufian, 27, berkata, pada mulanya dia tidak percaya apabila menerima emel berkenaan yang disangka skim penipuan, namun ternyata anugerah itu memang ada.

“Selepas mereka menceritakan secara terperinci kepada saya mengenai anugerah itu, barulah saya tahu.

“Yang pasti, saya bersyukur terpilih sebagai satu daripada penerima kategori itu. Ada beberapa calon penerima lain berdasarkan bidang masing-masing dan saya terpilih untuk kategori hiburan,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Di Matamu itu juga berharap dapat membanggakan rakyat Malaysia dengan penghargaan di peringkat antarabangsa itu.

“Saya sangat berbesar hati dapat menerima anugerah di peringkat antarabangsa mewakili negara. Saya berharap anugerah ini akan meletakkan nama Malaysia di peta dunia,” katanya.

Asia Awards 2019 yang dianjurkan Herald Group berpusat di Mumbai, India itu akan diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur sempena Malaysia Global Business Symposium 2019.

Penganjuran acara itu bertujuan memberi penghargaan dan meraikan usahawan atas usaha kepimpinan serta memberikan inspirasi kepada masyarakat.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 10:44am
d