rap

Vida enggan komen kes hadiah berlian palsu

Oleh Georgie Joseph

USAHAWAN kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida enggan mengulas mengenai kes hadiah berlian palsu yang diberikan kepada juara Gegar Vaganza 4 (GV4) juga penyanyi, Aishah.

Vida, 47, menerusi Instagram (IG) Live berkata, dia lebih memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang komen buat masa sekarang meskipun pihak Aishah sendiri sudah mengadakan sidang media, hari ini.

“Saya tiada apa-apa kenyataan dan tindakan. Ada juga wartawan cuba menghubungi saya,” katanya yang bertindak untuk berdiam dan tidak membalas walaupun cuba dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, Aishah pada sidang media itu menuntut Vida menggantikan berlian asli berharga RM80,000 pada atau sebelum 17 Julai ini selain diminta membuat permohonan maaf secara terbuka.

Penyanyi Janji Manismu terbabit mendedahkan itu antara butiran penghakiman persetujuan yang dibuat dalam proses mediasi pada 1 Julai lalu rentetan kemelut dakwaan hadiah berlian palsu diterimanya.

Aishah diberi hak sepenuhnya memilih barangan berlian asli berjumlah RM80,000 di sebuah kedai emas di Bangsar. Pemilihan barangan kemas itu sudah pun dibuat selepas proses mediasi lalu dan Vida perlu membayarnya paling lewat 17 Julai ini.

Pihaknya juga mahu beliau membuat permohonan maaf secara terbuka dengan mengadakan sidang media khas pada atau sebelum tarikh itu. Permohonan maaf spesifik perlu dinyatakan sewaktu sidang media itu.

Selain itu, beliau juga perlu membayar kos sebanyak RM7,500 ke akaun peguam cara Aishah pada atau sebelum 7 Julai ini.

Terdahulu, Aishah mendedahkan satu kenyataan laporan penyelidikan rasmi berhubung rantai berkenaan yang didakwa tidak bernilai dan bukan berlian asli diterimanya selepas menjuarai program GV4 pada 2017.

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 8:14pm
d