rap

Khai Bahar dominasi trending di YouTube

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENYANYI popular Khai Bahar mencipta sejarah peribadi apabila mengungguli dua kedudukan teratas carta trending YouTube Malaysia.

Pertamanya muzik video terbaru nyanyiannya berduet bersama Siti Nordiana, Satukan Rasa menjuarai carta dan rakaman pembabitannya dalam program I Can See Your Voice musim kedua (ICSYV2), yang disiarkan minggu lalu di TV3 berada di tangga kedua.

Khai yang dihubungi hari ini menyifatkan, klip video Satukan Rasa ditonton 982,000 dalam tempoh dua hari adalah satu kejayaan awal atas usahanya bersama rakan duet Siti Nordiana.

“Saya berterima kasih kepada peminat, terutama kelab peminat Khai Bahar Empire (KBE) yang selalu memberikan sokongan terhadap apa jua dilakukan sejak terbabit dalam industri muzik tempatan, lebih dua tahun lalu.

“Tidak sangka klip video lagu dendangan duet saya bersama Siti Nordiana diterima baik dan berjaya menjadi trending nombor satu.

“Saya percaya peminat Siti Nordiana dan kelab peminatnya Siti Nordiana FC (SNFC) juga turut membantu dengan menguarkan mengenai single terbaru ini menerusi laman sosial,” katanya.

Katanya, sebelum klip video Satukan Rasa menjadi trending, terlebih dulu episod program ICSYV2 yang membabitkan dirinya ditonton lebih 1.1 juta dalam masa empat hari dimuat naik di laman YouTube.

“Setahu saya program ICSYV2 dan disiarkan TV3 memang diminati ramai. Malah sebelum ini lagi sewaktu musim pertama ia sudah diikuti penonton setia.

“Saya sendiri sejujurnya juga meminati program ICSYV2 kerana ia membabitkan bidang nyanyian dan ada unsur jenaka,” katanya.

Menurutnya, lagi, program adaptasi dari Korea Selatan itu juga sering menjadi trending di laman sosial YouTube apabila dimuat naik oleh TV3.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 6:06pm
d