rap

'Jangan ambil mudah'

Oleh Najiy Jefri

LAMBAKAN pelawak sebagai penyampai radio dilihat seakan-akan menyekat rezeki penyampai radio sedia ada.

Malah, kehadiran mereka juga dikatakan merosakkan bahasa apabila menggunakan bahasa rojak ketika ke udara.

Barangkali permintaan yang tinggi terhadap pelawak membuatkan hampir keseluruhan stesen radio swasta menggunakan khidmat pelawak untuk menarik lebih ramai pendengar khususnya pada segmen pagi dan petang yang juga waktu puncak.

Cuit Sikit menemu bual tiga penyampai radio yang memiliki pengalaman lebih sedekad dalam bidang itu untuk membicarakan mengenai perkara ini.

Muaz Mohamed

“Barangkali kehadiran pelawak ini adalah permintaan daripada pendengar. Kita perlu sedar yang orang sekarang nak sesuatu perkara itu dibicarakan secara lawak. Saya tidak boleh salahkan pelawak yang ada.

Saya tiada masalah dengan kehadiran mereka. Bagi saya, sebagai penyampai radio yang sudah mempunyai pengalaman hampir 11 tahun dalam bidang ini, saya sedar kedudukan dan kelebihan yang dimiliki.

Saya tidak mahu terikut-ikut cara penyampaian pelawak kerana mungkin tidak digemari sesetengah pihak. Jadi saya hanya menyampaikan mengikut kemampuan dan pengalaman yang dimiliki.

Bagaimanapun, sebagai pelawak mereka perlu mempunyai kesedaran untuk memperbaiki diri ketika ke udara. Mereka juga perlu menimba ilmu dunia penyiaran radio ini kerana kerjaya ini tidak boleh dipandang mudah.

Saya juga ingin berpesan, pelawak juga perlu menggunakan bahasa yang baik ketika ke udara. Bahasa yang baik bermaksud, jangan menggunakan bahasa rojak yang akan mengelirukan pendengar kerana kita juga perlu mendidik masyarakat”.

Linda Onn

“Nak cakap setuju atau tidak memang susah kerana isu ini sudah lama berlaku. Saya anggap kehadiran pelawak dalam dunia penyiaran radio adalah rezeki buat mereka.

“Ada satu ketika tiba-tiba pelawak menjadi penyampai radio dan saya ambil ia dari sudut positif.

“Bagaimanapun, saya perlu akui lambakan pelawak sebagai penyampai radio sesuatu perkara yang membimbangkan kerana berpotensi menjejaskan penyampai radio sedia ada. Kita lihat ramai penyampai radio yang datang dan pergi. Buat yang masih bertahan saya bersyukur.

Namun, untuk penyampai radio yang disingkirkan untuk kemasukan pelawak ia bukan satu tanda yang baik.

Bagaimanapun, saya perlu akui kehadiran pelawak sedikit sebanyak mewarnai industri ini sekali gus memberi cabaran kepada penyampai radio sedia ada untuk bekerja lebih baik.”

AG

“Saya rasa kebanyakan penyampai radio sudah dapat terima perubahan yang berlaku ini. Sekurang-kurangnya kehadiran mereka memberi kita input untuk lebih berkembang maju.

Dulu kita anggap penyampai radio adalah kerjaya yang profesional dan saya nak ia kekal begitu. Jadi kepada mereka yang bercita-cita nak jadi penyampai radio, saya syorkan kepada mereka jangan fikir anda perlu menjadi pelawak.

Melawak adalah satu kelebihan namun bakat yang dimiliki dalam dunia penyiaran radio itu lebih bernilai. Jadi kepada pelapis yang akan datang, jangan rasa syarat kelayakan untuk menjadi penyampai adalah anda perlu menjadi pelawak.”

Disiarkan pada: July 6, 2019 @ 6:00am
d