rap

Mell Sakura Band bersalin September ini

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI kumpulan Sakura Band, Melley Matius bakal melahirkan bayi perempuan pada September ini.

Melley, 31, atau Mell yang kini hamil tujuh bulan berkata, sepanjang tempoh kehamilan dia tidak mengalami alahan teruk sebaliknya sentiasa ingin bermanja dan berada di sisi suami, Mohammad Safwan Hasnan atau Wan yang juga anggota kumpulan Akim & The Majistret.

“Dari segi emosi, saya okay dan tak ada sampai tahap teruk. Cuma, saya sentiasa nak ada bersama suami. Tidak boleh kalau dia tak ada. Pendek kata terlebih manja.

“Berbeza dengan suami, dia yang terlebih emosi dan mengidam lebih. Malah, ada ketika mudah sensitif dengan beberapa perkara,” katanya kepada Harian Metro.

Mell berkata, segala bentuk persiapan menyambut kelahiran anak sulung mereka sudah dibuat termasuk menempah bilik di hospital.

Menurut Mell, dia merancang untuk bersalin di Kuala Lumpur dan menjalani tempoh berpantang dengan bantuan keluarga mentua.

“Saya dan suami sudah ada beberapa nama untuk anak. Cuma, belum buat pemilihan akhir. Selebihnya dari segi kelengkapan bayi semua sudah. Tinggal tunggu masa nak bersalin saja.

“Saya juga sudah ambil keputusan untuk bersalin di sini dan berpantang dengan mentua. Saya berdoa semoga semuanya dipermudahkan,” katanya.

Dalam masa sama, Mell berkongsi bakal kembali aktif menyanyi selepas tamat tempoh berpantang.

“Kalau ikutkan perancangan Sakura Band nak melancarkan album tahun ini. Tapi, disebabkan keadaan saya ini, jadi kami tunda.

“Saya akan kembali menyanyi selepas habis berpantang. Sebabnya, sudah ada beberapa lagu yang siap. Sekarang saya banyak berehat di rumah. Duduk dalam rumah pun boleh semput, inikan pula nak menyanyi. Memang tak boleh langsung,” katanya.

Mell dan Wan berkahwin pada November 2017.

Disiarkan pada: July 6, 2019 @ 12:16pm
d