rap

Kekal balada nada tinggi

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BERTUBUH kecil tetapi lontaran vokalnya yang nyaring dan lantang menjadi identiti yang membezakan Ramlah Ram dengan penyanyi lain.

Ramlah, 54, baru sahaja selesai merakamkan single baharu berjudul Masar Cinta yang akan menemui peminat tidak lama lagi.

“Ada cerita di sebalik lagu yang dihasilkan oleh arwah Suzaimi Soaib ini.

“Dia rakan baik dan presiden kelab peminat saya iaitu Ramlah Ram Grup (RRG).

“Dia banyak berkorban untuk saya dan ketika di studio, saya sangat susah untuk menyanyikan lagu ini,” katanya.

Ramlah menjelaskan, penghasilan lagu itu lebih berupa tribut kepada Suzaimi yang meninggal dunia pada Mac, tahun lalu.

“Saya rasa sedih dan sebak ketika menyanyikannya kerana teringatkan kekuatannya melawan penyakit yang dihadapi.

“Namun, saya tidaklah menangis ketika dalam studio kerana sudah puas menangis sebelum itu.

“Lagu ini pun dirakam selepas dia meninggal. Dia sudah lama sakit dan saya sudah bersedia dengan pelbagai kemungkinan ketika itu,” katanya sebelum menambah, video muzik lagu berkenaan akan juga dihasilkan sebagai strategi promosi.

Menurut Ramlah, Masar Cinta masih mengekalkan konsep balada dan bernada tinggi yang menjadi identiti nyanyiannya selama ini.

“Peminat yang mahukan begitu dan saya tak boleh tolak kehendak mereka.

“Mereka kenal saya dengan identiti itu, jadi kenalah penuhi kehendak mereka. Tak boleh nak lari lagi,” katanya.

Ramlah bersyukur kerana pada usianya kini, dia masih bertenaga untuk menyanyi lagu bernada tinggi.

“Alhamdulillah, setakat ini semuanya masih okey. Orang akan sentiasa menilai kita.

“Mereka bukan tahu atau nak ambil peduli sama ada kesihatan kita kurang memuaskan ketika buat persembahan.

“Mereka hanya nak tengok kita nampak cantik dan okey ketika menyanyi,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi yang berasal dari Kesang, Muar, Johor ini juga aktif berniaga minyak wangi keluarannya sendiri dengan jenama RVR.

“Syukur kerana sambutan daripada peminat amat menggalakkan. Saya jual secara dalam talian dan secara langsung kepada peminat.

“Terbaharu, saya dalam usaha memasarkan produk ini menerusi hub jualan dalam talian Selebriti Mall.

“Ia berkonsepkan pulangan wang yang mana penjual dan pengguna akan mendapat keuntungan semula daripada setiap barangan yang dijual beli,” katanya.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 7:10am
d