rap

'Dia mahu langsai hutang' - Lisdawati

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON Lisdawati, 40, memaklumkan sudah dihubungi wanita dikenali sebagai Nurul Ashikin yang berhutang dengannya.

Menurut Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, wanita itu bersetuju untuk melunaskan semua hutangnya.

"Pada mulanya dia menggunakan orang tengah untuk menghubungi saya. Selepas saya bertegas, dia sendiri menghubungi saya dan memberitahu akan melunaskan kesemua hutangnya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Lisdawati, wanita itu menghubunginya sehari selepas Harian Metro mengeluarkan kenyataan suaminya yang juga pelakon Fauzi Nawawi mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya tidak melunaskan hutang.

"Dia hubungi saya dan bertanya, kenapa pihak saya perlu keluarkan cerita mengenai hutang ini di media sedangkan dia ingin selesaikan dengan cara baik. Saya beritahu, selagi dia tidak membayar kesemua hutangnya, saya anggap ia belum selesai.

"Saya beri dia tempoh masa yang tidak terlalu lama untuk selesaikan semua bayaran. Tarikh luputnya, biar saya dan dia sahaja yang tahu. Sekiranya dia gagal, saya akan ambil tindakan selanjutnya.

"Saya tak sebut tindakan undang-undang tetapi tindakan selanjutnya," katanya.

Lisdawati turut memaklumkan menerima beberapa mesej daripada beberapa individu yang pernah menjadi mangsa penipuan wanita itu.

"Selepas keluar berita di Harian Metro beberapa hari lalu, ramai yang menghantar mesej kepada saya dan memberitahu mereka juga pernah menjadi mangsa penipuan wanita itu.

"Namun,saya tak mahu sentuh mengenai masalah antara mereka dengan dia. Fokus saya adalah mahu selesaikan masalah antara saya dengan dia," katanya.

Tambah Lisdawati, dia juga sudah menyiasat latar belakang wanita itu dan mendapat maklumat mengenai keluarganya yang kini menetap di Pulau Pinang.

"Saya dapat banyak maklumat mengenai dirinya. Dia minta duit secara baik dan saya berikan secara baik. Jadi, saya nak selesaikan juga secara baik," katanya.

Terdahulu, pada pertengahan Jun lalu, Lisdawati memuat naik foto seorang wanita berserta kad pengenalan yang dikatakan berhutang dengannya di Instagram.

Lisdawati juga meminta pengikutnya di laman sosial itu membantu mengesan wanita berkenaan untuk berbincang secara baik.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 6:34pm
d