rap

Artis ceriakan OKU

Oleh Georgie Joseph

SETIAP individu termasuklah orang kelainan upaya (OKU) sememangnya layak untuk diraikan. Mereka juga berhak menikmati keseronokan dalam acara khas yang diadakan buat mereka.

Itulah antara misi Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) menganjurkan Karnival YOKUK pada 20 Julai ini menerusi acara ‘Wheel With Me’ di Stadium Mini Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kota Bharu.

Tiga selebriti terkenal yang juga duta YOKUK bakal memeriahkan acara terbabit iaitu Maya Karin, Fara Fauzana dan Andi Bernadee. Lebih menarik, mereka bakal merasai pengalaman berkerusi roda bersama orang ramai.

Menurut Maya, dia memang sangat teruja menantikan acara perlumbaan sempena karnival itu yang memberi peluang kepada orang normal merasai kesukaran pergerakan OKU yang berkerusi roda.

“Perlumbaan itu adalah idea yang unik kerana selain dapat merasai pengalaman berkerusi roda, ia juga satu senaman. Saya pernah cuba mengendalikan kerusi roda dalam tempoh tidak sampai 10 minit dan sangat mencabar.

“Cuba kita bayangkan mereka (OKU) yang sepenuhnya bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak sama ada di rumah atau luar rumah, sudah pasti kesukaran itu berkali ganda,” katanya.

Bagi Andi pula, dia berbesar hati apabila mendapat tawaran untuk memeriahkan karnival berkenaan. Apatah lagi ini adalah pengalaman pertamanya terbabit dalam acara membabitkan OKU.

“Terus-terang, sepanjang bergelar artis tidak pernah saya terbabit dalam karnival membabitkan OKU. Semestinya ini pengalaman baru yang sangat mengujakan saya.

“Bukan setakat mahu menghiburkan pengunjung nanti, saya juga teringin mendekati golongan OKU dan menyelami perasaan mereka,” katanya.

Manakala Fara pula mengakui sudah tidak sabar untuk terbabit dalam karnival itu bahkan sudah berlatih menggunakan kerusi roda. Dia tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai keseronokan aktiviti itu.

“Sewaktu Maya menawarkan saya menyertai acara ini, saya terus menyatakan persetujuan. Sejurus selepas itu, saya terus berlatih menggunakan kerusi roda sebagai persiapan.

“Memang bukan mudah dan saya sendiri pernah merasai kesusahan itu sewaktu jatuh sakit. Banyak perkara yang terhad untuk kita lakukan jika bergantung kepada kerusi roda,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi YOKUK, Datin Suliana Shamsuddin Alias berkata, karnival itu adalah acara tahunan namun sempena penubuhannya ke-20 tahun, sambutan kali ini pastinya lebih meriah.

“Acara kemuncaknya adalah ‘Wheel With Me’ yang mana semua peserta sama ada normal atau OKU akan berkerusi roda berlumba mengikut kategori masing-masing.

“Pendaftaran untuk perlumbaan ini bukan hanya terbuka kepada mereka yang berada di Kelantan tapi juga seluruh negara dan kami sasarkan 300 peserta akan menyertainya,” katanya

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 6:10am
d