rap

Julia hampir lemas ketika latihan dalam air

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA hampir lemas kerana topeng selam tercabut ketika menjayakan sesi latihan dalam air di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kuantan.

“Mujur, pasukan penyelamat sangat cekap bertindak dan membantu menyelamatkan saya ketika itu,” kata pelakon meningkat naik Julia Farhana Marin ketika berkongsi detik cemas sewaktu menjayakan latihan untuk filem Coast Guard, baru-baru ini.

Namun, kata Julia, 25, dia tidak serik kerana insiden itu berlaku akibat kecuaiannya sendiri.

“Saya terlalu yakin untuk menjayakan latihan dalam air ini kerana sudah memiliki lesen selam skuba di laut terbuka.

“Tapi selepas insiden yang mencemaskan ini, saya lebih peka dengan peraturan keselamatan ketika menyelam dalam air selepas ini,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai wataknya dalam filem itu, kata Julia, watak Leftenan Melati dalam filem Coast Guard paling mencabar kemampuannya dalam lakonan setakat ini.

“Watak Leftenan Melati memang saya impikan dalam bidang lakonan sejak dulu.

“Watak ini lasak dan banyak menguji aspek mental serta fizikal.

“Sesi latihan membabitkan tempoh sebulan sebelum penggambaran filem ini dimulakan pada Ogos nanti,” katanya.

Filem arahan Hashim Rejab itu, menampilkan Julia sebagai heroin bergandingan dengan Saharul Ridzwan selaku teraju utamanya.

Selain itu, filem berkenaan turut menampilkan barisan pelakon seperti Emma Maembong, Sabri Yunus, Aziz M Osman, Hazama, Black dan ramai lagi.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 4:26pm
d