rap

Hael pujuk Siti nyanyi lagu Anta Permana [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI terkenal, Datuk Seri Nurhaliza mengakui komposer dan penyanyi, Hael Husaini masih memujuk dirinya untuk menyanyikan lagu Anta Permana sekiranya lagu itu layak ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 34 dan Anugerah Juara Lagu 34 (AJL 34).

Bagaimanapun, Siti berkata jawapan diberikan kepada Hael adalah sama yang mana tidak mahu lagi menyertai pertandingan itu.

“Saya yakin perkara ini pasti ada jalan penyelesaian. Hael ada menghantar mesej pada saya, dia kata nak buat petisyen untuk saya menyanyikan lagu ini. Saya mengusiknya, tunggu dapat wahyu dulu.

“Selepas keluar artikel yang saya takkan menyanyi lagu ini pada pertandingan Muzik Muzik atau AJL, dia mencuba nasib dengan bertanya dan pujuk sekali lagi untuk saya menyanyikan lagu ini.

“Buat masa sekarang memang tak ada apa-apa perbincangan pun lagi untuk saya menyanyi. Saya serah pada Hael untuk dia pilih dan buat persiapan awal siapa boleh nyanyikan lagu itu. Saya berasakan dia pun boleh menyanyikan lagu ini dengan baik,” katanya kepada Harian Metro.

Siti berkata, dia tidak mahu perkara itu dijadikan isu besar kerana keputusan itu sudah lama dibuat.

Kali terakhir Siti bertanding di pentas berprestij itu menerusi lagu Destinasi Cinta pada AJL 22.

“Saya pernah cakap nak berehat, tapi kembali dengan Destinasi Cinta sebelum ambil keputusan untuk tidak lagi terbabit dalam pertandingan ini.

“Untuk kali ini, saya tak pasti. Buat masa sekarang, memang tak ada perancangan dan perbincangan ke arah itu,” katanya.

Menurutnya, dia menyerahkan kepada Hael untuk memilih penyanyi terbaik sekiranya dia memang mengambil keputusan tidak mahu menyanyikan lagu Anta Permana itu.

“Mungkin saya akan berkongsi idea. Saya terbuka untuk bantu dia.

“Tapi tak tahu kalau Allah bukakan pintu hati secara tiba-tiba. Cuma, setakat ini memang tak ada untuk menyanyi,” katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 6:17pm
d