rap

Kekok urus anak kecil

Oleh Rudy Imran Shamsudin

HAMPIR tujuh tahun tidak mempunyai anak kecil membuatkan selebriti terkenal Dynas Mokhtar berasa kekok menguruskan Edriel Obil.

Dynas selamat melahirkan Obil 17 Mei lalu selepas hampir setahun bernikah dengan ahli perniagaan, Shazrik Din pada April 2018.

Menerusi perkahwinan pertama, Dynas dikurniakan dua anak iaitu Khyra Khalyssa yang berusia sembilan tahun dan Mohamed Haqaish, 7.

Ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran teman baiknya, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya, Dynas berkongsi suaminya ada membeli buku sebagai bahan rujukan bagi memastikan apa yang dilakukan mereka adalah betul dan baik untuk Obil.

“Suami lagilah kekok sebab ini cahaya mata pertamanya. Jadi, sebagai bapa baharu, banyak perkara yang perlu ia belajar. Shazrik juga banyak bertanya.

“Saya sendiri banyak lupa kerana sudah tujuh tahun tidak menguruskan anak kecil. Cuma, ada beberapa perkara memang saya beri penekanan dan memang saya lakukan sejak dulu seperti jam 4 petang anak sudah dimandikan,” katanya.

Jelas Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, suaminya ringan tulang dan sering membantu menguruskan Obil terutama sepanjang dia berada dalam tempoh berpantang.

“Suami memang gembira dengan kehadiran Obil kerana bukan saja ini anak sulungnya tetapi juga cucu pertama dalam keluarganya.

“Saya faham perasaan teruja keluarga Shazrik dan pastinya Obil menjadi tumpuan serta kesayangan keluarga mentua,” katanya.

Kata pelakon dan pengacara itu lagi, walaupun sudah habis berpantang dia masih menjaga pemakanannya.

“Ini kerana saya beri susu badan. Memang sejak anak pertama lagi saya beri susu badan malah anak sulung menyusu sehingga usianya mencecah dua tahun.

“Setakat ini Obil menyusu dengan baik. Saya memang mahukan anak menyusu badan tambahan pula ia boleh membuatkan tubuh kembali langsing.

“Saya suka jika Obil minum banyak susu supaya cepat langsing,” katanya sambil berseloroh.

Bercerita mengenai kerjaya seni, Dynas berkata buat sementara waktu ini dia akan menumpukan perhatian kepada Obil dan hanya akan kembali bekerja pada November nanti bagi menjayakan penggambaran KL Gangster.

“Selain itu juga, restoran dan butik saya usahakan bersama keluarga kini sedang diubah suai. Insya-Allah jika segala perancangan berjalan lancar ia akan mula beroperasi pada November juga,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 4:30am
d