rap

Sarimah berdebar nak bersalin

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SELEBRITI dan pengacara Sarimah Ibrahim hari ini berkongsi perasaan gemuruhnya untuk melahirkan bayi perempuan pada bila-bila masa.

Dalam kenyataan dimuat naik di laman sosialnya, Sarimah berkata, perasaan yang dirasai tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan ia mengatasi segala pengalaman pernah dilalui sebelum ini.

“Saya pernah mengacarakan rancangan berskala besar secara langsung di hadapan jutaan manusia di seluruh Asia. Saya pernah melakukan terjun udara tanpa pasangan.

“Saya juga pernah membelah kayu dengan tangan sewaktu melakukan sukan karate dan bersaing dengan lelaki yang jauh lebih besar.

“Saya juga sudah melakukan selam skuba sedalam 45 meter dengan manta ray menutupi cahaya matahari. Tetapi sekarang dalam usia mencecah 41 tahun, saya akan melahirkan manusia ke dunia,” katanya.

Katanya, perasaannya kini jauh lebih hebat berbanding kehebatan yang pernah dilakukan sebelum ini.

Menurutnya, dia kini sudah pun bersiap sedia dengan menyediakan segala keperluan yang diperlukan sebagai bakal ibu apabila dimasukkan ke hospital bersalin nanti.

Sarimah sebelum ini mendedahkan jantina anaknya di majlis pelancaran produk 'Thrill by Sarimah Ibrahim Eksklusif di Shopee' di Glam Hall, Damansara Perdana.

Sarimah dan suami, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau Tunku Jamie yang juga cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 mendirikan rumah tangga pada 2 April 2015.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 6:00pm
d