rap

Azrel diulit bahagia

Oleh Najiy Jefri

MENGINJAK usia 35 tahun, ramai beranggapan angka terbabit sudah cukup ranum buat aktor Azrel Ismail mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, jejaka kelahiran Taiping, Perak ini mengaku tiada perancangan untuk ke arah itu buat masa sekarang. Katanya, fokusnya lebih terarah untuk memastikan karier seninya terus bertahan dan mengumpul aset.

“Saya belum terfikir menamatkan zaman bujang dan tidak meletakkan sebarang sasaran untuk melaksanakannya. Kalau ada jodoh dan apabila tiba masanya, saya ikut saja.

“Lagipun, berkahwin awal atau cepat bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana jodoh itu rahsia Tuhan. Biarlah masa yang menentukan,” katanya.

Meskipun tidak meletakkan sasaran berkahwin, Azrel mengakui dia kini sedang mengenali seseorang.

Enggan mendedahkan identiti wanita yang kini bertakhta di hatinya Azrel berkata, cukup sekadar dia berkongsi sedang diulit bahagia.

“Kami masih dalam fasa berkawan dan dia bukanlah seseorang yang terbabit dalam industri hiburan. Orangnya cukup ringkas dan sangat memahami kerja saya yang tidak menentu ini,” katanya yang enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai teman istimewanya itu.

Perkembangan lain, Azrel kini membintangi drama Cetera Hati Diya di TV3.

Bercerita mengenai drama lakonannya bersama barisan pelakon terkenal termasuk Fattah Amin dan Azar Azmi itu, Azrel berkata, dia memegang watak antagonis bernama Zakuan.

“Zakuan perogol yang menyebabkan Diya, lakonan Azar trauma sehingga menutup hatinya untuk mencintai dan mempercayai mana-mana lelaki.

“Di awal plot, Zakuan tampil sebagai lelaki jahat namun selepas itu ada sedikit perubahan terhadap watak ini.

“Kalau nak tahu, jangan lupa menonton Cetera Hati Diya,” katanya yang aktif dalam industri seni sejak 2011.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 4:30am
d