rap

Leez nasihat Aepul jangan cetus kontroversi

Oleh Georgie Joseph

PELAKON dan penyanyi Leez Rosli mengakui tidak putus menasihatkan suaminya Aepul juga vokalis Drama Band supaya tampil dengan muzik video yang tidak mencetuskan kontroversi selepas ini.

Leez, 31, tidak menafikan dirinya turut menjadi mangsa kecaman di internet selepas beberapa video muzik kumpulan dianggotai suaminya itu mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan warganet.

“Sewaktu video berkenaan menjadi tular, saya memang teruk kena di media sosial. Mereka bukannya menyerang Aepul sebaliknya saya yang jadi mangsa namun dia menyuruh saya berdiam saja.

“Dia sebenarnya tidak berniat apa-apa cuma Aepul memang jenis orang yang suka berfikir di luar kotak. Kadang-kadang dia mungkin tahu apa yang dilakukannya itu salah, namun dia mudah lupa.

“Seni yang dia cuba tunjukkan terlalu mendalam. Namun sebagai seorang isteri, saya sokong mana yang elok namun tidak lupa menasihatkannya jika sebaliknya,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya dia berjaya menepis gangguan emosi yang dihadapi sewaktu diserang di media sosial disebabkan sokongan suaminya juga.

“Keadaan memang tegang jugalah ketika itu namun Aepul banyak menyokong dan begitu juga saya menyokong dirinya juga,” katanya.

Terdahulu, Aepul dituduh mempersendakan beberapa individu dan sengaja menggunakan isu berkenaan bagi meraih populariti menerusi muzik lagu berjudul Drama. Disebabkan itu, dia menjadi mangsa kecaman warganet.

Aepul dan Leez mendirikan rumah tangga pada Disember 2014 dan dikurniakan cahaya mata Nur Safiyya Alisha, yang kini berusia tiga tahun.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 10:04pm
d