rap

Perkukuh industri tempatan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

BERGELAR selebriti bukanlah penghalang untuk mengambil tahu perkembangan politik negara kerana agenda seperti itu sentiasa diperlukan bagi mengubah industri seni tempatan.

Biarpun sudah 20 tahun menjadi ahli UMNO, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim tiba-tiba mencuri tumpuan ramai apabila menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Putrajaya, baru-baru ini.

Norman yang juga Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia berkata, dia tahu ramai terkejut dengan perkembangan itu.

Katanya, penyertaan dalam parti baharu dibuat selepas melihat arus perkembangan politik Malaysia yang berubah dan akan terus berubah.

“Saya mahu membantu industri seni tempatan, mengukuhkan agenda agama, bangsa dan negara bersama pemerintah,” katanya.

Walaupun ramai mengenalinya sebagai selebriti, Norman menegaskan ramai tidak tahu pembabitannya dalam pendidikan dan keusahawanan.

“Saya rasakan kita memerlukan perubahan seiring perubahan tampuk kepemimpinan negara. Industri kreatif sememangnya berperanan penting dalam memacu ekonomi Malaysia dan ia perlu selari dengan pemerintah terkini,” katanya.

Bekas anggota kumpulan KRU itu berkata, dia memiliki 27 tahun berpengalaman dalam industri filem, kandungan televisyen dan muzik dari dalam dan luar negara.

“Apabila bersama pemimpin kerajaan baharu, saya mahu membantu industri hiburan dengan membawa mereka sebagai usahawan yang bertenaga mahir. Pastinya melalui itu, saya akan membantu rakan artis yang banyak berjasa kepada industri kreatif tempatan,” katanya.

Menurut Norman, walaupun menyertai Bersatu, jasa dan inisiatif kerajaan terdahulu tidak boleh dinafikan tetapi memerlukan nafas baharu.

“Apabila kerajaan berubah artis juga memerlukan idea, dasar dan pelaksanaan yang lebih baik. Ia bertujuan mencapai objektif jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya.

Bagi Norman, sukar untuknya meninggalkan UMNO, namun mengubah haluan kerana perjuangan Bersatu sama dengan parti pembangkang.

“Matlamat dua parti iaitu UMNO dan Bersatu tidak berubah, yang berbeza hanya pemimpin dan logo. Saya menyertai UMNO pada 1999 kerana pacuan idea yang hebat Tun Dr Mahatahir Mohamad dan hari ini, ia juga perkara yang sama,” katanya.

Menurut Norman, bagi selebriti tanah air yang lain mereka mempunyai sokongan parti tersendiri dan ia terpulang pada pendirian masing-masing.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 4:30am
d