rap

Konsert Ratu 2.0 trending di Twitter

Oleh Syafil Syazwan Jefri

HAMPIR 1,000 penonton memenuhi ruang di Auditorium Perdana Angkasapuri bagi menyaksikan Konsert Minggu Ini: Konsert Ratu 2.0 yang membariskan tiga artis popular iaitu Ziana Zain, Siti Nordiana dan Ella.

Disebabkan jumlah kehadiran tidak dijangka, ada penonton terpaksa pulang dengan kecewa kerana tidak berjaya masuk ke dalam auditorium konsert yang berlangsung malam tadi.

Bagi Siti Nordiana, dia sendiri tidak menjangkakan sambutan sehebat itu.

"Saya sendiri pun tak sangka penonton akan seramai ini sehinggakan ada yang terpaksa duduk di tangga," katanya kepada Harian Metro.

Ziana pula berkata, jumlah penonton yang ramai mungkin kerana gabungan tiga kumpulan peminat.

"Penonton yang datang kebanyakannya dalam kumpulan kelab peminat. Jadi, bila tiga kelab peminat bergabung, jumlahnya jadi ramai," katanya.

Ella pula mengucapkan terima kasih kepada pihak RTM yang mempromosikan acara itu secara besar-besaran.

"Pihak RTM juga tidak henti-henti mempromosikan Konsert Ratu 2.0 ini sekali gus menarik perhatian peminat untuk datang menonton," katanya.

Di acara itu, Ziana, Siti Nordiana dan Ella masing-masing menyampaikan beberapa lagu popular mereka serta menyampaikan lagu secara bergandingan.

Di Twitter, konsert itu berada di tangga pertama carta sohor kini (trending) di Malaysia.

Konsert Ratu 2.0 adalah konsert kelapan dalam program mingguan, Konsert Minggu Ini dan menjadi konsert kedua selepas Konsert Ratu yang pernah diadakan pada 2015.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 12:59am
d