rap

Tidak mudah kekal relevan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

TEMPOH 18 tahun berada dalam industri muzik cukup mematangkan penyanyi bersuara lunak, Datin Alyah.

Malah, sepanjang tempoh itu Alyah, 38, atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan sudah melalui fasa jatuh bangun dan perit jerih menjadi anak seni.

Mengakui tidak mudah untuk kekal relevan, Alyah yang menempa nama menerusi lagu Tak Mungkin Kerana Sayang antara penyanyi wanita yang sentiasa bersaing menerusi single.

Meski dua tahun kebelakangan Alyah perlu akur dengan kehadiran penyanyi baharu, itu bukan alasan untuknya mengalah.

Siapa sangka dalam pada kegilaan peminat muzik tempatan terhadap kemunculan penyanyi remaja popular, Alyah masih gah berdiri dengan karya yang memberikan magis tersendiri.

“Lebih 18 tahun saya berada dalam industri. Saya bertapak bukan dalam kelompok popular.

“Saya diadili juri profesional untuk berada dalam bidang ini. Apabila diberi kepercayaan oleh mereka yang profesional, saya tidak boleh mempersia-siakan peluang itu.

“Sekitar lima tahun lalu lagu saya kurang disedari peminat dan pendengar.

“Setiap lagu pelaburannya mencecah ribuan ringgit.

"Malah, saya menghasilkan setiap lagu dengan teliti termasuk klip video.

“Semua kos menggunakan duit poket sendiri.

“Apabila ia tidak diterima, sudah tentu rasa hampir putus asa,” katanya.

Alyah bagaimanapun enggan berpaling daripada genre dibawa sejak dua dekad lalu semata-mata memenuhi kehendak pasaran.

“Setiap produk adalah identiti diri dan penghargaan terhadap setiap pengkarya yang terbabit.

“Lamaran Warner Music sekitar penghujung 2017 diterima sebagai taruhan terakhir dan anggap ia nafas baharu buat kerjaya.

“Berada di bawah syarikat rakaman gergasi dengan pengurusan lebih efektif, setiap proses promosi diselenggara dengan baik.

“Selama ini saya menguruskan semuanya sendiri termasuk mempromosikan lagu.

“Selepas bersama mereka, saya banyak mempelajari ilmu baharu terutama strategi pemasaran,”

katanya.

Biarpun lagu Jutaan Purnama yang dilancarkan tahun lalu baru menambat hati peminat, tanpa menunggu lama Alyah mempertaruhkan pula single Meluruh hasil ciptaan bersama Halen Yap dan lirik oleh Slen Fadzil.

Katanya, Meluruh adalah karya yang boleh dihayati pelbagai lapisan masyarakat terutama mereka yang berdepan rencam cabaran berumah tangga.

“Lagu ini amat istimewa. Saya mendapat ilham menghasilkan lagu ini ketika memandu. Hujan lebat pada waktu itu.

“Saya segera merakamkan melodi berkenaan sebelum diberikan kepada Omar K untuk disusun dan digarap sebagai sebuah lagu,” katanya.

Alyah berkata, rakaman lagu berkenaan juga memerlukan kestabilan emosi yang tinggi bagi

memastikan penyampaiannya berkesan.

“Emosinya sarat. Saya perlu menyanyikan lagu ini dengan emosi yang stabil supaya tidak mengganggu lontaran vokal.

“Namun, ketika proses rakaman saya tewas. Saya menyanyikan dalam keadaan bergelut emosi.

“Ketika itu juga, terjadi masalah dalam rumah tangga saya. Ia memang tidak dijangka sama sekali.

“Namun, kehidupan perlu diteruskan dan saya anggap ia dugaan.

“Memang betul saya menangis. Memang sangat sukar nyanyi lagu ini.

Tidak sahaja bergelut dari segi emosi tetapi juga mengenang nasib dalam industri muzik dan

pada masa sama, kena tengking dengan peminat yang kadang-kala keterlaluan.

“Jadi, apabila menyanyikan lagu ini, perasaan bercampur baur dan betul-betul memberi impak,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, katanya, penggambaran video muzik dilakukan di Pantai Penarik dan Pantai Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Istimewanya, video muzik itu ditaja jenama Bodykoo iaitu syarikat rangkaian kecantikan dan penjagaan badan milik bersama Alyah dan Fahmi Ismail.

“Video Muzik kali ini berbeza dengan kebanyakan MV yang pernah dihasilkan.

“Kalau sebelum ini saya ke luar negara menggunakan khidmat pelakon lelaki popular sebagai model tetapi tidak di sini.

“Namun, apa yang boleh dikatakan, video muzik kali ini mendapat sentuhan berbeza. Ia memberi fokus kepada saya sebagai penyanyi yang perlu bermain dengan emosi,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 5:16am
d