rap

'Rouge Yuna di Times Square, New York'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI, Yuna melakar sejarah tersendiri apabila sebuah papan iklan lampu diod pancaran cahaya (LED) muncul di tengah-tengah kota metropolitan Times Square, New York, Amerika Syarikat dengan memaparkan wajahnya bersempena pelancaran album terbarunya, Rouge.

Rouge adalah album keempat antarabangsa Yuna yang dilancarkan secara rasmi kelmarin.

Menerusi status dimuat naik di Instagram, Yuna turut mengajak peminatnya yang berada di sana bergambar dan ‘tag’ dirinya.

“Dari Kuala Lumpur ke dunia. Hari Rouge di mana-mana dan pastinya Rouge berada di Times Square bandaraya New York (NYC)! Rouge di pasaran sekarang! Anda boleh ke sana bergambar dan ‘tag’ saya,” tulisnya.

Siaran iklan itu dibawakan khas oleh platform penstriman muzik popular dunia, Spotify.

Status yang dimuat naik itu mendapat lebih 80,000 tanda suka dan lebih 2,000 komen.

Selain peminat tegar penyanyi itu, ramai artis turut mengucapkan tahniah atas pencapaian diraih Yuna.

Antaranya, penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa, Anggun, Afgan, Bunga Citra Lestari dan Raisa.

Dari Malaysia, Ella, SonaOne, Wany Hasrita, Nora Ariffin, Alif Satar, Liyana Jasmay dan ramai lagi.

Album itu mengandungi 11 lagu termasuk satu lagu berbahasa Melayu iaitu Tiada Akhir.

Menerusi album itu juga, Yuna turut berkolaborasi dengan beberapa penyanyi antarabangsa lain.

Antaranya, lagu Castaway (Yuna feat Tyler dan The Creator), Blank Marquee (Yuna feat G-Eazy), Pink Youth (Yuna feat Little Simz) dan Does She (Yuna dan Jay Park).

Terdahulu, tiga lagu daripada album ini sudah dilancarkan sebagai iaitu Forevermore pada 5 April, Blank Marquee (16 May) dan Pink Youth (30 Jun).

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 12:35pm
d