rap

'Saya tak kecewalah!' - Lizzy

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI dan pelakon Elizabeth Tan Su Mei, 26, menafikan sindiran pedas ditulisnya di akaun Twitter petang semalam yang ditujukan kepada golongan lelaki ada kaitan dengan kisah diri sendiri.

Elizabeth atau mesra dengan sapaan Lizzy dihubungi menerusi pengurusnya melalui aplikasi WhatsApp memberitahu rakannya dikecewakan oleh seorang lelaki.

“Apa yang saya muat naik itu tidak ada kena mengena dengan diri sendiri pun. Perkara itu berlaku kepada kawan saya.

“Saya sekadar tumpang meluahkan perasaan marah dengan apa yang berlaku kepada rakan berkenaan,” tulisnya ringkas.

Menerusi ciapan ditulis itu Lizzy menyindir dengan dakwaan ‘semua lelaki sama.. tak guna, penipu’ mendapat perhatian peminatnya.

Ciapan pedas Lizzy itu bagaimana pun mendapat 1.4 ribu ulang ciap itu kira-kira 2,00 tanda suka daripada pengikutnya.

Malah, kebanyakan peminat yang menulis perkongsian komen pada ciapan itu memberi kata-kata semangat dan motivasi kepada Lizzy.

Penyanyi yang popular dengan lagu Knock Knock, Police Entry dan Semua Sudah itu juga diminta terus kuat dan banyak bersabar.

Kebanyakan pengikut Lizzy turut menyifatkan kecewa dalam percintaan adalah lumrah setiap insan.

Mengimbau cerita lalu, Lizzy pernah mengeluarkan kenyataan putus cinta dengan seorang jejaka Melayu pada Mei 2017

Gara-gara putus cinta dilaluinya, pelakon filem Misteri Dilaila itu mengakui dia mengalami tekanan perasaan yang melampau.

Malah, dek kerana kegagalan mengawal perasaan dilalui itu Lizzy juga dibawa keluarganya berjumpa doktor pakar untuk rawatan sehingga pulih semula.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 6:27pm
d