rap

Zarina terkilan warganet hina anak autisme

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON, Zarina Zainuddin, 49, menerusi akaun Instagramnya meluahkan rasa terkilan dengan sikap warganet yang menghina dirinya dan anaknya menghidap autisme.

Zarina bagaimanapun tidak mengambil hati dengan sikap warganet, malah menerima dengan terbuka.

"Ada orang yang mengata, 'eh, sudah-sudahlah minta simpati orang. Orang pun dah muak tengok cerita kau dengan anak yang sakit otak tu'.

"Biarlah. Katalah sesuka hati kalian. Alhamdulillah. Saya cuma nak kongsikan apa yang rasa dan alami apabila berdepan dengan anak autisme. Tak suka, tak apa," tulisnya.

Zarina juga berkongsi rasa sayunya apabila melihat wajah anaknya, Muhammad Razil Azrai Abu Raihan atau Azil.

"Bila merenung wajah Azil, saya pun sayu. Saya mak, mestilah ada perasaan kasih walau asyik kena pukul, kena gigit. Kadang-kadang, nak bangun pun tak larat.

"Tapi, saya gagahkan juga. Kadang-kadang, rasa nak tinggalkan saja bila keluar. Bila sampai separuh jalan, saya patah balik ambil dia," tulisnya.

Dia turut menitipkan harapan supaya anak autisme di luar sana, mendapat perhatian dan kasih sayang.

"Semoga anak saya dan anak autisme lain dapat sepenuh perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa, kaum keluarga serta masyarakat sekeliling.

"Buat semua pengikut, terima kasih kerana selalu mendoakan saya," tulisnya.

Selain Azil, seorang lagi anak Zarina yang menghidap autisme adalah Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan atau Azal.

Zarina berkongsi fotonya bersama Azil di Instagram dan menerima lebih 50,812 tanda suka serta lebih 1,000 komen daripada warganet.

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 7:10pm
d