rap

Gurauan nikah jadi tekanan

Oleh Rudy Imran Shamsudin

GARA-GARA bergurau membabitkan tarikh 20 Februari 2020 untuk bernikah, aktor popular Remy Ishak mengakui dirinya kini tertekan apabila ramai pihak bertanyakan mengenai perkara itu, termasuk ahli keluarganya.

Remy sebelum ini membuat pengakuan kepada Harian Metro dengan berkata, memilih tarikh itu untuk bernikah namun belum ada calon isteri.

Katanya, sewaktu bertemu dengan wartawan sebelum ini yang bertanyakan mengenai isu nikah dan tarikh kahwin, dia menyangka ia sekadar berbual kosong serta bergurau dengan mereka apabila menyebut tarikh itu.

“Saya tidak menyangka pula mereka sebenarnya serius dan menyiarkan berita mengenai tarikh perkahwinan terbabit.

“Kecohlah juga apabila berita ini disiarkan. Ahli keluarga saya semua sudah bertanya dan mempersoalkan mengapa perkara ini tidak dibincangkan dengan mereka terlebih dulu serta siapakah calon yang bakal saya nikahi,” katanya.

Membetulkan kembali situasi, kata Remy, dalam usianya sekarang sudah tentu soal nikah dan berumahtangga ada dalam kamus hidupnya, namun perancangan untuk melaksanakannya tidak ada dalam waktu terdekat ini.

“Saya percaya kepada jodoh yang sudah ditentukan, cuma sebagai bakal suami dan ketua keluarga banyak perkara harus difikirkan sebelum keputusan dibuat.

“Tambahan pula usia saya sekarang sudah mencecah 37 tahun. Selepas ini apabila usia bertambah saya sudah tidak sesuai lagi memegang watak anak muda remaja. Mungkin pada masa akan datang yang sesuai untuk saya adalah watak bapa,” katanya.

Menurutnya, sebagai pelakon dia sedar watak yang sesuai mengikut peningkatan usianya juga sudah tidak banyak.

Justeru katanya, sudah tiba masanya dia memikirkan sesuatu sebelum membuat keputusan untuk bernikah.

“Apabila sudah bernikah dan berkeluarga nanti, sudah tentu saya perlu menyediakan segala keperluan diperlukan oleh keluarga. Lebih-lebih lagi untuk membesarkan anak, terutama membabitkan pendidikan mereka,” katanya.

Sebagai persediaan bagi menghadapi masa depan, kata Remy, dia kini berjinak dalam bidang perniagaan membabitkan pertanian dan penternakan.

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 7:28pm
d