rap

Demi kelangsungan kerjaya

Oleh Georgie Joseph

SEJAK mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Drama Band, Aepul pada Disember 2014, pelakon dan penyanyi, Leez memutuskan untuk berehat dari arena hiburan tempatan.

Leez atau nama sebenarnya Rosliza Rosli, 31, juga tidak lagi muncul di media termasuk TV. Sehubungan itu, ramai menganggap dia sudah menoktahkan kerjaya seninya.

Bagaimanapun, bekas peserta Akademi Fantasia 4 (AF4) ini sebenarnya masih cintakan dunia seni dan penyertaannya dalam program Muzikal Lawak Superstar (MLS) ketika ini sebagai medan menebus peluang kedua.

“Sejak berkahwin, saya memutuskan untuk duduk rumah saja dan fokus kepada keluarga. Ada juga tawaran datang tetapi saya tolak disebabkan belum bersedia.

“Apabila ditawarkan menyertai MLS datang, saya sebenarnya ragu-ragu. Saya tidak pasti jika layak untuk melakukannya memandangkan ia membabitkan elemen lawak.

“Bagaimanapun, saya melihat platform ini sebenarnya peluang kedua buat saya untuk kembali merancakkan dunia seni. Lagipun, Aepul turut menyokong selain anak kami pun sudah besar,” katanya.

Leez berkata, dia ada misi untuk kerjaya seninya akan datang dan berazam mengukuhkan nama sebagai penyanyi dan bukan sekadar pelakon.

“Tidak dinafikan, selepas keluar dari AF4, kerjaya saya lebih banyak tertumpu kepada bidang lakonan. Malah, ramai lebih mengenali saya sebagai pelakon berbanding penyanyi.

“Disebabkan itu, saya tidak mahu mensia-siakan peluang kedua ini dan mahu kuatkan nama dalam bidang muzik. Saya pun sudah mula membuat lagu ‘cover’ bersama Aepul sebagai persediaan,” katanya.

Leez juga berazam melipatgandakan usaha mencipta semula namanya selepas ini. Seboleh-bolehnya dia akan ambil setiap peluang yang ada.

“Saya memang merancang kemunculan semula ini untuk jangka masa panjang. Saya pun sudah ada perancangan sendiri terutama dalam bidang muzik.

“Sebelum ini, saya langsung tidak pandai ambil peluang. Namun, saya sudah belajar daripadanya dan sekarang akan lebih rancak mencari dan menyambar peluang,” katanya.

Kini tampil bertudung, Leez juga tetap berpegang kepada prinsip menjadi diri sendiri. Selesa bertudung bawal, baginya tiada apa yang perlu dia segankan.

Menurutnya, dia tidak mungkin akan tampil mengenakan turban hanya sekadar untuk menjadi lebih ‘trendy’, sebaliknya, dia mahu kekalkan imej yang digayakan sekarang.

“Saya tidak yakin dengan penampilan bergaya termasuk mengenakan turban. Saya lebih suka dengan imej yang ringkas.

“Lagipun, sejak memakai tudung, saya memang sudah selesa dengan imej sekarang. Inilah gaya yang paling sesuai untuk saya.

“Saya pun jenis tak tahan kritikan. Sebelum menjadi mangsa kecaman dengan imej pelik, lebih baik saya tidak fikirkan untuk mengenakan penampilan begitu,” katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 4:30am
d