rap

Tampil dengan muzik video

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SINGLE ketiga Neon Band, Kaca dianggap cukup istimewa kerana buat pertama kalinya mereka tampil dengan muzik video.

Kumpulan yang ditubuhkan sejak 2017 itu dan dianggotai enam anak muda iaitu Ezwan Ariff selaku vokalis, Adam Svl (gitar), Shafique Sharif (gitar), Azuad Abdullah (dram), Danial (keyboard) dan Naim (bass) mengakui tidak sabar untuk melihat hasil muzik video itu.

Apa yang menarik, muzik video itu mendapat sentuhan pelakon hebat, Datin Seri Umie Aida selaku pengarah.

Ezwan Ariff berkata, penerbitan muzik video itu diharap dapat melonjakkan lagi lagu ciptaan Atiqah Noor itu.

“Dua single sebelum ini kami hanya ada video lirik saja. Kali ini, ia berbeza apabila syarikat rakaman iaitu Seventeen Eleven menerbitkan muzik video.

“Sesuatu yang membanggakan buat kami juga apabila muzik video ini diarahkan Datin Seri Umie Aida. Ini pertama kali kami berjumpa dan bekerjasama.

“Jalan cerita adalah hasil perbincangan bersama. Selepas Umie mendengar lagu ini, dia terus dapat gambaran mengenai jalan cerita yang ingin diketengahkan.

“Tak sabar nak tunggu hasilnya yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi. Sekali gus dapat melonjakkan lagi populariti lagu ini,” katanya.

Menurut Ezwan, penerbitan muzik video itu juga adalah percubaan pertamanya berlakon yang dianggap cukup asing.

Walaupun kekok, Ezwan berterima kasih kepada pelakon filem Dukun itu kerana banyak memberi tunjuk ajar.

“Ini pertama kali saya berlakon dengan jalan cerita seperti drama. Memang susah menjadi pelakon.

“Bekerja di bawah arahan Umie juga agak menakutkan kerana namanya cukup besar. Memandangkan kami tak boleh berlakon, apatah lagi saya yang terbabit dalam banyak babak, dia memang tegas.

“Saya cuba juga buat apa yang diinginkan. Selagi tak betul, saya buat. Sepanjang hampir dua hari penggambaran, dia tak pernah menjerit, tapi dia jelingkan saja," katanya.

Pada masa sama, Ezwan berkata, dirinya yang pemalu menyukarkan menjayakan babak romantik dan bermain dengan emosi.

“Saya pemalu, apabila dia suruh buat banyak babak seperti kena berlari, bercinta dan bermain dengan emosi, saya menjadi kekok. Itu semua diberikan di lokasi dan secara spontan,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu itu, Ezwan berkata, sambutan dan maklum balas diberikan sangat menggalakkan.

“Lagu ini dilancarkan sebelum Ramadan lalu. Alhamdulillah, ia sudah dimainkan di stesen radio. Berbanding dua single sebelum ini, dari segi penerimaan dan komen, ia lebih positif dan diterima.

“Kalau dengar bunyi dan muzik lagu ini pun ia berbeza dengan single sebelum ini. Alhamdulillah, ramai yang suka. Bukan saja peminat, kami juga berharap lagu ini boleh pergi jauh. Kalau boleh nak masuk Muzik Muzik 34 dan AJL34,” katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 5:30am
d