rap

Cari idea terbit filem seram

Oleh Najiy Jefri

PENERBIT filem dan usahawan, Datin Furyna Azmeer membuka peluang kepada pengkarya tempatan atau mana-mana pihak untuk berkongsi idea atau jalan cerita filem seram.

Furyna berkata, sehingga kini dia masih belum menemui jalan cerita yang menarik untuk difilemkan.

“Selepas kejayaan Pinjamkan Hatiku, saya memang target untuk menghasilkan karya seram pula.

“Bagaimanapun saya masih belum menemui jalan cerita yang menarik hingga meremang bulu roma peminat filem.

“Sekiranya ada pengkarya tempatan yang mempunyai idea atau jalan cerita seram saya sentiasa terbuka. Malah kalau ada sesiapa yang mempunyai pengalaman juga boleh kongsikan kepada saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Aura White Sparkle Diamond Skincare dan Aura White Sparkle Diamond Collagen Travel Pack di Seri Kembangan, semalam.

Menurutnya, dia terdetik untuk menghasilkan filem seram kerana yakin genre terbabit mempunyai permintaan tinggi daripada penonton tempatan.

“Sebenarnya saya pun penakut kalau tengok filem seram, tapi saya lihat filem seram ini ada pengikut dan mendapat permintaan tinggi.

“Insya-Allah kalau ada rezeki saya memang nak terbit sebuah filem seram selepas ini. Doakan semoga impian ini menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pemilihan pelakon popular Ayda Jebat dan Fasha Sandha sebagai duta produk keluarannya, Furyna berkata, kedua-dua artis itu tidak kedekut berkongsi idea dan tidak pernah berkira.

“Satu perkara yang saya kagum dengan mereka adalah Fasha dan Ayda sentiasa memberikan idea serta saling membantu untuk menaikkan produk tempatan.

“Mereka akan selalu menghubungi saya dan berkongsi idea menarik untuk dilakukan. Malah mereka juga tidak pernah berkira untuk memberikan promosi di platform media sosial masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 5:37pm
d