rap

Pang5 bawa Janda Istimewa

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

ASALNYA mereka adalah kumpulan silat yang mengadakan persembahan muzik di majlis perkahwinan, medan silat, Istana Seri Menanti, Kuala Pilah dan empat Balai Undang di Negeri Sembilan dengan mengenakan alatan tradisional.

Mahu menjengah ke industri hiburan tanah air dengan lebih meluas, kumpulan itu yang dahulunya dikenali sebagai Nobat Diraja kini dijenamakan semula sebagai Pang5 atau Panglima.

Mempertaruhkan single kedua berjudul Janda Istimewa nyanyian bersama Ketty Natalia Rasul Khan, 32 atau Thalia Mentor 4, lagu bergenre pop dangdut itu diyakini menerima sambutan pendengar.

Penyanyinya, Lobo Faiz Fadilah Abd Rahim, 33, berkata, Pang5 dianggotai dua adiknya iaitu Fadzliatul Fadilah, 24, (gitar) dan John Danial Fadilah, 23 (dram) bersama dua sepupu, Zul Ifwat Azrul, 20 (bass) serta Mohd Razmeer Zaki, 21 (perkusi).

“Lagu ini dihasilkan Februari lalu yang menggarapkan muzik moden dan tradisional. Ia mengenai seorang janda yang berpengaruh dan anak pemimpin masyarakat yang memiliki keperibadian tinggi serta berkerjaya,” katanya.

Anak jati Paroi, Seremban itu berkata, anggota kumpulan mereka menampilkan identiti bertanjak yang bersesuaian dengan kumpulan silat.

Pernah memiliki single pertama berjudul Sudah tahun lalu, Lobo menzahirkan penghargaan buat bapanya, Abd Rahim Ghani, 67, atau Tok Bain yang mengasaskan kumpulan muzik terbabit.

“Ketika berusia sembilan tahun, saya mengikuti bapa mengadakan persembahan muzik di pentas silat, Istana Seri Menanti, Balai Undang dan majlis perkahwinan di seluruh negara termasuk Indonesia.

“Sebaik dijenamakan semula September tahun lalu, kami masih mengekalkan muzik tradisional yang menggunakan gendang silat, gong dan gamelan. Menjadi matlamat untuk memasuki industri hiburan tanah air yang memperkenalkan kumpulan silat,” katanya.

Menurut Lobo, lagu Janda Istimewa dihasilkan Fadzliatul Fadilah manakala lirik ditulisnya dan kini dalam perancangan menghasilkan lagu berkaitan silat sepenuhnya.

Bagi menampakkan kelainan nyanyian, lagu itu memerlukan penyanyi wanita yang memiliki suara serak basah.

Berikutan mengenali Thalia, Lobo tanpa segan silu menjemput protege kepada Ziana Zain itu untuk berduet.

Bagi Thalia, dia tertarik dengan keunikan lagu itu yang menggunakan alatan tradisional selain liriknya yang memberi maksud mendalam.

“Secara kebetulan saya ibu tunggal buat kali kedua atau dalam bahasa mudahnya janda. Lagu ini mengajar ibu tunggal supaya tidak patah semangat dan meneruskan kehidupan,” katanya.

Thalia yang memiliki lima single iaitu Inspirasi, OKU Sayang, Insan Peduli, Bukan Dia dan Diratah Hiba mahukan sesuatu yang baru tambahan pula sebelum ini menyanyikan lagu berirama balada.

Disiarkan pada: July 20, 2019 @ 4:30am
d