rap

Neelofa nak pergi haji setiap tahun [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENGACARA dan pelakon terkenal, Neelofa bakal menunaikan ibadah haji buat kedua bersama pada 4 Ogos ini.

Neelofa, 30, atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata, dia akan berangkat ke Tanah Suci bersama ibu dan dua adik lelakinya.

“Memang saya merancang nak menunaikan haji pada 4 Ogos ini, tapi proses mendapatkan visa masih belum lengkap lagi.

“Saya minta semua doakan supaya semuanya dipermudahkan dan boleh pergi sekali lagi bersama keluarga.

“Dari segi persiapan, saya baca banyak buku. Ustaz pun ada datang ke rumah untuk memberi penerangan kepada adik yang tak pernah pergi lagi,” katanya.

Neelofa yang ditemui pada sesi rakaman Naura Shares di Petaling Jaya hari ini berkata, dia teruja untuk menunaikan haji sekali lagi selepas kali pertama pada 2016.

“Kali ini saya berasa teruja sebab banyak masa dari segi nak buat persiapan sendiri. Bukan untuk di Makkah saja tapi semasa di Mina dan ketika wukuf.

“Memandangkan saya pernah ada pengalaman menunaikan haji sebelum ini, untuk pergi sekali lagi saya sudah tahu nak buat apa. Tidak sabar untuk merasa perasaan yang Allah bagi dan tak sabar untuk cari lagi pengalaman baru,” katanya.

Dalam masa sama, Neelofa yang juga pengacara program MeleTop berkata, dia memasang niat untuk menunaikan haji setiap tahun.

“Kalau ikut perancangan, saya nak pergi haji tahun lalu dengan mak, tapi ketika itu arwah datuk sakit kuat. Jadi kami tangguhkan.

“Apabila berpeluang tahun ini, saya teruskan saja dan tak payah fikir banyak kali. Sebenarnya kalau boleh nak pergi haji setiap tahun dan umrah sebanyak mungkin,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2019 @ 3:28pm
d