rap

YKAT nak dapatkan rumah untuk Shima

Oleh Najiy Jefri

YAYASAN Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) sedang dalam proses untuk mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) buat penyanyi Shima yang dikategorikan sebagai asnaf oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave berkata, pihaknya sudah memanjangkan perkara itu kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Tahun lalu kami berjaya mendapatkan enam unit rumah PPR kepada anak seni layak. Tahun ini kami cuba dapatkan untuk Shima pula. Kami akan ikhtiarkan sehingga impiannya untuk memiliki rumah sendiri tercapai," katanya.

Sementara itu, Dave berkata, YKAT juga dalam usaha untuk membantu pemuzik orkestra RTM, Joned Tuah yang turut berada dalam kesusahan.

"Saya dimaklumkan isterinya menderita penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis. Walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan, saya kagum dengan semangatnya apabila dia tetap berusaha mencari wang sebagai pemain gitar sambilan untuk keluarganya.

"Doakan semoga usaha baik ini berjalan dengan baik dan dipermudahkan," katanya.

Dave berkata, YKAT sentiasa menerima pelbagai aduan dan masalah yang dihadapi penggiat seni yang memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan.

"Pihak kami tidak pernah duduk diam apabila menerima panggilan atau aduan daripada anak seni yang sedang dalam kesusahan.

“Sehingga kini seramai 1,100 artis tanah air sudah kami bantu dan akan cuba sedaya upaya menolong mereka di saat memerlukan," katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2019 @ 4:28pm
d